Pelantikan Dr Noraini Ahmad Pengiktirafan Kepada Kepimpinan Wanita UMNO – Rosni Zahari
KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari menzahirkan penghargaan atas pelantikan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dalam kabinet kerajaan baharu.
Menurutnya, pelantikan itu adalah pengiktirafan sewajarnya terhadap kepimpinan dan pengalaman beliau (Noraini) sepanjang mentadbir sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi kepercayaan kepada Ketua Wanita UMNO serta ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menggalas jawatan menteri dan timbalan menteri.
“Saya sangat berbangga Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi. Jawatan ini amat tepat diberikan kepadanya kerana kelayakan, senioriti, kredibiliti dan pengalaman akademiknya.
“Saya yakin dan percaya bahawa Dr Noraini Ahmad dapat menunaikan tanggungjawab di kementerian baharu berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Menteri Pengajian Tinggi,” katanya kepada UMNO Online.
Rosni turut memuji pelantikan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, yang juga dari UMNO, ke jawatan tersebut.
“Semua menteri dan timbalan menteri dari UMNO dan BN diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan fokus utama kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran menekankan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini memberi banyak pengajaran dan pengalaman berharga.
“Kita banyak belajar dan pengalaman dari PRN Sabah baru-baru ini, kenapa rakyat membuat keputusan sedemikian kerana merasakan diri mereka terpinggir, tidak ada pembelaan sepenuhnya.
“Inilah masa dan ketikanya Menteri dan Timbalan Menteri harus melihat apa jua keperluan yang diperlukan oleh rakyat Sabah,” tegasnya.
Ujarnya, sekiranya rakyat dan pengundi dijaga dengan baik, mereka akan merasakan diri mereka terbela dan akan terus menyokong UMNO/BN serta kerajaan yang sedia ada. – UMNO Online
