Norliza Raikan Pelajar, Fahami Generasi Muda Menerusi Program Sembang Siswa SMART Next Gen
KUALA LUMPUR, 19 Dis – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, baru-baru ini hadir sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam program Sembang Siswa (SMART Next Gen) yang diadakan dengan suasana penuh positif dan semangat oleh para pelajar.
Ujarnya, program ini menjadi platform interaktif bagi pelajar untuk memahami pengurusan dana, kewangan peribadi, serta cabaran yang bakal mereka hadapi dalam dunia pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Saya sentiasa berusaha meletakkan diri di tempat pelajar untuk memahami perspektif dan cara mereka berfikir.
“Memang jelas terdapat perubahan zaman antara generasi saya dan mereka. Cara bekerja, cara menerima teguran, dan pendekatan terhadap cabaran hidup kini sangat berbeza. Saya sentiasa cuba memahami dan mencari cara terbaik untuk memberi nasihat serta tunjuk ajar apabila bekerja bersama Gen Z,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa perkongsian pengalaman daripada tiga generasi berbeza yang hadir dalam program ini dapat membuka minda pelajar, memberi inspirasi, dan membantu mereka lebih bersedia menghadapi dunia sebenar selepas tamat pengajian.
Katanya, program Sembang Siswa SMART Next Gen bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kewangan, tetapi turut menekankan pembangunan kemahiran insaniah, seperti pengurusan masa, etika kerja, dan kemahiran komunikasi.

“Kehadiran ahli-ahli panel yang berpengalaman memberi peluang kepada para pelajar untuk bertanya secara langsung dan memperoleh nasihat praktikal yang relevan dengan cabaran semasa.”
Terdahulu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang juga berkesempatan menyantuni anak-anak asnaf UMNO Bahagian Bukit Gelugor melalui inisiatif Program Sumbangan Tunai, Beg Sekolah dan Alat Tulis.
Jelasnya, program amal ini bertujuan meringankan beban keluarga asnaf serta memberi semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu dengan penuh keyakinan.
“Usaha sedemikian bukan sahaja membina komuniti yang lebih prihatin, tetapi juga memupuk budaya kepedulian sosial dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan aspirasi UMNO untuk mendekatkan diri dengan rakyat, terutama golongan muda dan keluarga yang memerlukan.
“Program sebegini diharap dapat membuka minda, memperluas wawasan, dan menjadi sumber inspirasi kepada pelajar untuk menempuh kehidupan akademik dan kerjaya dengan lebih yakin, berdaya saing, dan bertanggungjawab,” katanya lagi. – UMNO Online
