MB Pahang Lawat PPS Bukit Rangin, Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa Banjir

KUANTAN, 19 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Kuantan yang kini menempatkan seramai 66 keluarga melibatkan 233 mangsa banjir dari kawasan berhampiran.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang serta Kit Bantuan Makanan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.

“Saya berasa lega apabila dapat mendengar sendiri keperluan serta keadaan penghuni PPS yang kini berada dalam keadaan baik dan mencukupi,” katanya.

Menurut beliau, walaupun situasi banjir dilaporkan semakin surut, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan kebajikan dan keselamatan penduduk yang terjejas sentiasa terpelihara.

“Kerajaan Negeri akan terus menggerakkan bantuan secara berterusan melalui agensi-agensi berkaitan bagi memastikan semua mangsa menerima bantuan sewajarnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang masa demi menjamin keselamatan bersama. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO