Kerajaan Negeri Pahang Teruskan Remisyen Kadar Cukai Tanah – MB

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan akan meneruskan pemberian remisyen kadar cukai tanah bagi tahun 2026 dan 2027.

Menurut beliau, keputusan itu telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sebagai kesinambungan dasar yang telah dilaksanakan sejak tahun 2020.

“Keputusan ini sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban kewangan pemilik tanah.

“Khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab pembayaran cukai tanah mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Tambah Wan Rosdy, Kerajaan Negeri akan terus komited dengan dasar dan keputusan yang dibuat mengambil kira kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Pahang akan terus mengimbangi keperluan rakyat dengan tadbir urus kewangan yang berhemah.

“Selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai teras utama pembangunan negeri,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO