Politik Bandar Tidak Kenal Sentimen, Perpecahan Melemahkan Parti – TPr Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 18 Dis – UMNO merupakan tunjang kepada pembinaan negara serta pembentukan wajah Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang mencerminkan kekuatan bangsa asal, tegas Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurut beliau, hakikat tersebut semakin terhakis bukan kerana kelemahan UMNO, sebaliknya akibat perpecahan yang berlarutan dalam kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi bukti nyata apabila daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, UMNO hanya memenangi satu kerusi, iaitu Parlimen Titiwangsa.

“Daripada jumlah kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, UMNO hanya memenangi satu kerusi iaitu Parlimen Titiwangsa. Kerusi-kerusi bandar seperti Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Cheras dan lain-lain pula dikuasai Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti besar, sedangkan di banyak kawasan tersebut, jumlah pengundi Melayu masih signifikan.

“Masalahnya bukan soal bilangan, tetapi undi masyarakat Melayu yang berpecah ke terlalu banyak arah. Apabila undi berselerak, kita kehilangan kuasa penentu. Apabila kita gagal membina kekuatan bersama, ruang itu akan diisi oleh pihak lain — secara sah, demokratik dan berasaskan angka.

“Politik tidak mengenal sentimen, ia hanya mengenal nombor. Dan realitinya, nombor Melayu hari ini tidak lagi bersatu. Ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi satu peringatan jujur daripada sejarah. Politik bandar menuntut disiplin, strategi dan kesatuan. Tanpa semua itu, suara Melayu akan terus mengecil di kota yang suatu ketika dahulu pernah kita terajui,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Abdul Razak menjelaskan bahawa tumpuan utama bukanlah soal siapa yang perlu dipersalahkan, tetapi ke mana arah masa depan negara ini harus dibawa.

“Persoalannya bukan siapa yang patut dimarahi, tetapi ke mana kita mahu membawa masa depan. Bandar sedang berubah, anak-anak kita semakin membesar di sini. Jika kita terus berpecah, kita hanya akan menjadi penonton di tanah sendiri.

“Kita tidak lagi mempunyai masa untuk meratapi kesilapan lama. Jika kita benar-benar menyayangi masa depan Melayu bandar, jika kita mahu suara orang Melayu kembali relevan dan dihormati, kita perlu kembali kepada sesuatu yang telah terbukti pernah menyatukan kita semua.

“UMNO mungkin pernah melakukan kesilapan iaitu itu kita akui. Namun, tiada parti lain yang lahir daripada denyut nadi perjuangan Melayu, yang memiliki sejarah, struktur dan akar umbi sedalam ini,” katanya lagi.

Tegasnya, sudah sampai masanya untuk berhenti berpusing, pulang, dan menyatukan kembali kekuatan UMNO.

“Pilihan raya akan datang bukan sekadar satu pilihan raya, tetapi merupakan peluang terakhir untuk membetulkan hala tuju. Jangan biarkan rasa sayu hari ini menjadi penyesalan yang berkekalan.

“UMNO pernah kuat dan dominan dalam negara, dan masih boleh bangkit semula jika kembali berpadu. Satu-satunya cara untuk orang Melayu bersatu ialah dengan kembali kepada perjuangan UMNO,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan Melayu hanya wujud apabila masyarakat Melayu bersatu padu.

“Kekuatan Melayu hanya wujud apabila kita bersatu; apabila kita berpecah, kita akan mudah dipijak. Kemerdekaan 1957 dicapai bukan dengan emosi, tetapi melalui kebijaksanaan dan kesepaduan.

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1971 kerana negara belajar, dengan cara yang pahit, bahawa ketidakseimbangan dan perpecahan membawa padah jangka panjang,” ujarnya.

Seterusnya, beliau berkata sejarah telah mencatatkan bahawa buat pertama kalinya Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan bukan daripada kalangan orang Melayu.

“Ini bukan sekadar pertukaran jawatan, tetapi satu isyarat besar tentang kedudukan kita hari ini di ibu negara. Ini bukan soal siapa yang menang atau siapa yang kalah, sebaliknya realiti politik bandar yang sedang kita hadapi dengan hati yang berat.

“Suatu ketika dahulu, Kuala Lumpur merupakan lambang kepimpinan Melayu. Dari zaman Tun Razak dan Tun Hussein Onn hinggalah era pembangunan pesat pada 1980-an dan 1990-an, bandar ini menjadi pusat kuasa politik dan ekonomi orang Melayu. Di sinilah suara kita kuat, dihormati, dan menentukan arah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO