Keselesaan Jadi Keutamaan, Reezal Merican Sumbang Kemudahan Di Hospital Kepala Batas

KEPALA BATAS, 17 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, telah mengadakan lawatan ke Hospital Kepala Batas untuk menyampaikan sumbangan kerusi roda dan kerusi berangkai bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan pengunjung.

Menurut beliau, lawatan itu dilakukan selepas menerima makluman mengenai keadaan kerusi roda yang uzur serta kekurangan kerusi menunggu di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

Dalam lawatan tersebut, beliau telah menyumbangkan 10 unit kerusi roda dan tiga unit kerusi berangkai.

Selain itu, Reezal Merican turut meninjau ruang baru Zon Hijau Jabatan Kecemasan Hospital Kepala Batas, yang dibina bagi menggantikan Zon Hijau sedia ada yang hanya berada di dalam kontena yang diubah suai.

Beliau berkata, keperluan penambahbaikan ini telah dibangkitkan semasa lawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada 9 Februari lalu.

“Alhamdulillah, Zon Hijau baru yang lebih selesa telah siap dibina dengan peruntukan sebanyak RM423,000 dan dijangka mula digunakan pada Januari 2026. Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang telah meluluskan peruntukan ini dari Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau juga meninjau tapak pembinaan Surau Hospital Kepala Batas, yang dibiayai dengan peruntukan sebanyak RM350,000 daripada ICU, Jabatan Perdana Menteri, bagi menyelesaikan masalah ruang solat untuk orang ramai.

Reezal Merican berharap sumbangan dan penambahbaikan kemudahan ini dapat meningkatkan keselesaan pesakit dan pengunjung Hospital Kepala Batas.

Lawatan ini turut disertai oleh Dr. Izani Uzair Zubair, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara; Dr. Mohamad Nazmi bin Mohamad Hussain, Pengarah Hospital Kepala Batas; Ustaz Mohd Naim Haji Salleh, Pegawai Penyelaras KADUN Penaga; Encik Muhamad Aidil Fitri Mat Aripin, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kepala Batas; serta Puan Farah Izzati Abd Rahman, Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kepala Batas. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO