Johor Dalam Keadaan Amaran Hujan Berterusan, Kerajaan Negeri Tingkat Kesiapsiagaan

JOHOR BAHRU, 17 Dis – Kerajaan Negeri Johor menggesa seluruh rakyat agar meningkatkan tahap kewaspadaan susulan situasi Amaran Hujan Berterusan yang sedang melanda negeri ini sehingga 18 Disember 2025, berdasarkan maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa amaran cuaca tersebut melibatkan dua tahap, iaitu Tahap Buruk dan Tahap Waspada, yang dijangka membawa implikasi besar terhadap keselamatan penduduk serta kelancaran aktiviti harian di beberapa daerah terlibat.

Menurut beliau, Tahap Buruk yang melibatkan hujan lebat berterusan telah dikeluarkan bagi daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

“Keadaan ini berisiko menyebabkan banjir besar dan banjir kilat, peningkatan paras sungai secara mendadak serta gangguan kepada jalan utama dan operasi lapangan. Penduduk di kawasan rendah, berhampiran sungai dan pesisir pantai dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai serta pesisir pantai khususnya dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan, dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” tegas beliau.

Sebagai langkah kesiapsiagaan awal, Onn Hafiz memaklumkan bahawa semua Pegawai Daerah di kawasan terlibat telah dimaklumkan secara langsung dan kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah pula bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa mengikut keperluan semasa.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh MET Malaysia.

“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya demi melindungi diri, keluarga dan harta benda. Keselamatan nyawa adalah keutamaan kita bersama,” ujar beliau lagi.

Onn Hafiz turut mendoakan agar negeri Johor sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT serta dipermudahkan segala urusan rakyat dan pihak berkuasa sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini.

“Semoga Allah SWT melindungi negeri Johor dan mempermudahkan segala urusan kita semua,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO