Tegur Dengan Fakta Tapi Jangan Hina Presiden UMNO – Mohd Zaidy
JEMPOL, 16 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, membidas pihak yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sambil menegaskan bahawa kritikan berlandaskan fakta boleh diterima, namun sebarang bentuk penghinaan terhadap kepimpinan parti adalah sama sekali tidak wajar.
Beliau berkata demikian berikutan dakwaan Pemuda MIC yang menyifatkan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ‘mabuk kuasa’ ekoran membuat teguran kepada parti komponen itu berhubung desas-desus MIC keluar dari BN.
Tegas Mohd Zaidy, UMNO tidak pernah menutup ruang untuk ditegur atau dikritik secara matang dan berfakta, namun serangan bersifat negatif dan biadab jelas menunjukkan kegagalan pihak tertentu memahami realiti politik semasa serta tanggungjawab kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tegur dengan fakta kami akan terima, tetapi jangan hina presiden kami. UMNO bukan parti yang lemah atau takut ditegur. Namun, apabila tuduhan dibuat secara sembrono dan penuh emosi, ia bukan lagi kritikan membina, sebaliknya cubaan merendahkan kepimpinan,” tegasnya.
Mohd Zaidy menegaskan tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak berasas, malah merupakan cubaan terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan dan kelemahan dalaman mereka sendiri.
“Tuduhan itu jelas satu naratif murahan. Ia bukan sahaja menghina Presiden UMNO, malah mencerminkan sikap tidak matang dalam berpolitik. Keputusan UMNO dan BN untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan adalah keputusan kolektif yang telah diketahui umum sejak awal.
“MIC sebagai sebahagian daripada BN sepatutnya tahu, sedar dan faham, bukannya bermain politik sempit dan membuat tuduhan kerana mabuk kuasa,” bidasnya.
Tambah beliau, kepimpinan UMNO di bawah Ahmad Zahid telah membuktikan keberanian dan ketegasan dalam memikul tanggungjawab besar, khususnya ketika negara berada di ambang ketidakstabilan politik dan ekonomi.
“Keputusan untuk menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan bukanlah keputusan mudah, tetapi dibuat demi kepentingan negara dan rakyat.
“Ketika negara berdepan ketidaktentuan, UMNO tidak lari. Kami berdiri ke hadapan, memikul tanggungjawab dan memastikan kestabilan dapat dikembalikan. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan.”
Mohd Zaidy menegaskan bahawa UMNO tidak akan tunduk kepada tekanan politik murahan atau serangan tidak beradab, sebaliknya akan terus fokus memperjuangkan kestabilan negara, kebajikan rakyat dan kelangsungan kerajaan yang berfungsi.
“Jika ada yang gagal, jangan jadikan UMNO sebagai sasaran untuk menutup kelemahan sendiri. Politik bukan medan untuk menabur fitnah, tetapi ruang untuk berkhidmat,” tegasnya lagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengingatkan parti komponen dalam BN untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan meninggalkan gabungan yang telah dianggotai sejak sekian lama, apatah lagi dengan landskap politik yang sentiasa berubah. – UMNO Online
