RUU Antibuli Bakal Jadi ‘Hero Friend’ Kepada Anak-Anak – Azalina

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berharap agar Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli bakal menjadi ‘hero friend’ kepada anak-anak yang bertindak sebagai pelindung mereka.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan bahawa mesyuarat penyelarasan antara kementerian telah diadakan pada 2 September lalu untuk memperkukuh kerangka perundangan bagi RUU tersebut.

“Pada awal Ogos 2025, negara dikejutkan dengan kes melibatkan arwah adik Zara yang telah mencetuskan kebimbangan serius masyarakat terhadap isu keselamatan kanak-kanak di institusi pendidikan.

“Kes ini menjadi pemangkin kepada tindakan segera kerajaan. Pada 29 Ogos 2025, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli.

“Sebagai kesinambungan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) pada 2 September 2025 telah memulakan mesyuarat penyelarasan antara kementerian untuk memperkukuh kerangka perundangan dan langkah-langkah pencegahan buli,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Negara, sebentar tadi.

Ujarnya, sebanyak 12 sesi Town Hall telah diadakan sejak September sehingga Oktober 2025 di seluruh negara untuk mendengar sendiri suara rakyat dalam proses merangka RUU tersebut.

“BHEUU, JPM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah turun ke seluruh negara — untuk mendengar sendiri suara Rakyat dalam proses merangka RUU baru ini melalui sesi-sesi ‘town hall’, gerakan suara rakyat ke telinga pemimpin, sepanjang September dan Oktober 2025.

“Secara keseluruhan, 12 sesi Town Hall yang telah diadakan ini telah menghimpunkan hampir 4,000 peserta dari seluruh negara. Daripada sesi-sesi ini, satu mesej jelas bergema… rakyat mahukan standard nasional yang jelas dan tegas untuk menangani buli.

“Hampir semua negeri menuntut definisi buli yang seragam; garis panduan sekolah yang selamat; mekanisme aduan yang konsisten dan perlindungan kepada guru serta murid,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa ramai anak-anak tidak berani untuk membuat laporan sekiranya mereka menjadi mangsa buli dan hanya bergantung kepada rakan terdekat sebagai pelindung.

“Malah, saya sendiri telah mendengar suara kanak-kanak secara langsung melalui sesi libat urus khas. Mereka berkongsi pengalaman sebagai mangsa buli, termasuk ejekan menghina dan intimidasi yang menjejaskan emosi serta keyakinan diri.

“Ramai juga mengakui bahawa mereka tidak selalu berani membuat laporan kerana bimbang tindakan balas dan sering bergantung kepada rakan-rakan terdekat sebagai pelindung.

“Dalam perbincangan itu, salah seorang daripada mereka, adik R, menggunakan istilah ‘hero friend’ untuk merujuk rakan yang membantu dan melindungi mereka ketika berdepan pembuli — satu konsep ringkas tetapi penuh makna tentang perlunya sokongan rakan sebaya dan persekitaran sekolah yang meyakinkan.

“Saya berharap agar RUU ini dapat menjadi ‘hero friend’ kepada adik R dan anak-anak kita, sentiasa melindungi, memberikan jaminan dan meyakinkan mereka bahawa sekolah adalah tempat yang selamat untuk belajar serta membesar, ‘without fear or favour’,” katanya lagi.

Untuk rekod, RUU Antibuli telah dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 1 Disember 2025 dengan bertujuan mewujudkan tribunal khusus dan mekanisme komprehensif untuk menangani kes buli di institusi pendidikan.

Usaha kerajaan tidak terhenti setakat itu dan ia membawa kepada bacaan kali kedua RUU tersebut di Dewan Negara pada hari ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO