Prihatin Rakyat, ‘Beras Kahwin’ UMNO Labuan Terus Menyelusuri Rumah Pengantin

LABUAN, 16 Dis – UMNO Labuan terus membuktikan komitmen berterusan dalam menyantuni rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, berkata pendekatan turun padang dan mendekati rakyat merupakan keutamaan parti dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terbela.

“UMNO Labuan akan terus kekal komited dalam kerja-kerja kebajikan dan khidmat masyarakat demi kesejahteraan rakyat Labuan. Program seperti ini bukan sekadar bantuan material, tetapi lambang keprihatinan dan sokongan moral kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas berkenaan pelaksanaan Program Peduli Rakyat yang dibuat oleh Puteri UMNO Labuan pada minggu ini, iaitu sumbangan ‘Beras Kahwin’ telah disampaikan kepada lapan pasangan pengantin yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada minggu hadapan.

Menurut Mohd Rafi, program tersebut mencerminkan usaha berterusan UMNO Labuan dalam membantu meringankan beban bakal pengantin, khususnya dalam menghadapi persiapan awal perkahwinan.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pasangan pengantin serta keluarga. Semoga setiap majlis perkahwinan yang bakal berlangsung dipermudahkan urusan, berjalan dengan lancar dan sentiasa diberkati Allah SWT,” ujarnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Puteri UMNO Labuan, Normiati Jumat, serta seluruh barisan kepimpinan dan jentera Puteri UMNO Labuan atas komitmen tinggi dan keprihatinan mereka dalam menjayakan program berkenaan.

“Syabas dan terima kasih kepada Normiati Jumat serta seluruh kepimpinan Puteri UMNO Labuan yang sentiasa konsisten mendekati rakyat. Inisiatif seperti ini jelas menunjukkan peranan penting sayap Puteri UMNO dalam menyantuni masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, UMNO Labuan akan terus memperkukuhkan peranan sebagai sebuah parti yang bukan sahaja memperjuangkan agenda politik, malah sentiasa berada di barisan hadapan dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO