Pemuda MIC Jangan Jadi Badut Politik: Berani Menuding, Tapi Gagal Mencermin – Mohd Hairi
KUALA LUMPUR, 16 Dis – UMNO tidak gentar ugutan politik murahan dan tidak takut jeritan kosong malah berdiri teguh mempertahankan Presiden, kepimpinan dan kestabilan negara.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Hairi Mad Shah menegaskan, Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri, tidak akan bersopan palsu, dan tidak akan melayan politik munafik susulan tuduhan Pemuda MIC yang mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mabuk kuasa.

“Kami bersedia menjawab di mana-mana medan, dengan fakta, rekod dan sokongan rakyat. Jika Pemuda MIC merasakan mereka lebih hebat, lebih bersih dan lebih berprinsip, keluar secara terhormat, berjuang sendirian, dan hadap rakyat tanpa berlindung di bawah Barisan Nasional (BN).
“Menuduh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘mabuk kuasa’ adalah kenyataan biadab, kosong dan menjijikkan, lebih-lebih lagi datang daripada sebuah parti yang gagal mempertahankan kepercayaan rakyat dalam pilihan raya, namun masih mahu bersuara seolah-olah mereka penentu hala tuju negara.
“Pemuda MIC perlu sedar satu hakikat pahit iaitu mereka tidak berada dalam posisi moral, politik atau elektoral untuk mengajar UMNO tentang prinsip,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor berkata kenyataan Ketua Pemuda MIC dengan penuh penghinaan, bukan sahaja tidak bermaruah, malah memperlihatkan keangkuhan politik tanpa prestasi.
“UMNO membuat keputusan berasaskan tanggungjawab negara, bukan jeritan slogan jalanan. Laungan ‘No DAP, No Anwar’ adalah realiti kempen ketika itu, tetapi apabila negara tergantung, UMNO memilih kestabilan berbanding ego, sesuatu yang jelas tidak difahami oleh Pemuda MIC yang masih terperangkap dalam politik emosi dan dendam,” katanya lagi.
Seterusnya kata Hairi lagi, Pemuda UMNO tidak pernah gentar berhadapan perbezaan pandangan, namun menolak politik hipokrit yang hanya berani menyerang dari belakang.
“Jika Pemuda MIC mahu bercakap soal ‘siang cakap lain, malam buat lain’, maka MIC bercakap soal kesetiaan kepada BN. Malam menyerang kepimpinan BN melalui media dan sambil berharap publisiti murahan untuk menutup kegagalan sendiri. Itu bukan keberanian, itulah kepura-puraan politik.
“Pemuda UMNO menegaskan secara terbuka dan tanpa berselindung bahawa BN bukan tempat untuk parti yang suka menikam rakan sendiri. BN bukan pelindung untuk kegagalan pilihan raya. BN bukan pentas untuk pemimpin muda yang mencari nama dengan menghina kepimpinan gabungan sendiri,” tegasnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid Zahid mengingatkan parti komponen dalam BN untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan meninggalkan gabungan yang telah dianggotai sejak sekian lama, apatah lagi dengan landskap politik yang sentiasa berubah. – UMNO Online
