Najib Sifatkan Tuduhan Pemuda MIC Sekadar Alasan Tutup Kegagalan Sendiri
KUALA LUMPUR 16 Dis – Sindiran terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya “siang cakap lain, malam buat lain” adalah sangkaan yang tidak berasas dan berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti serta mengelirukan rakyat.
Hakikatnya, tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri Presiden UMNO konsisten dalam setiap pendirian dan keputusan yang dibuat, berpaksikan kepada mandat parti dan kepentingan negara.
Jelas beliau semua keputusan yang diambil dilakukan secara kolektif bersama kepimpinan tertinggi parti, bukan secara bersendirian atau atas kepentingan peribadi.
“UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid telah memainkan peranan penting dalam memulihkan kestabilan politik negara selepas PRU-15, ketika pihak lain masih terumbang-ambing mencari arah dan gagal membuat keputusan demi rakyat.
“Mereka yang menuduh Presiden UMNO perlu menilai kegagalan sendiri, khususnya dalam memelihara hubungan sesama komponen dan dalam memperkukuh kedudukan parti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau seterusnya menambah menyerang kepimpinan UMNO dengan tuduhan dangkal hanya akan mendedahkan kelemahan sendiri dan hilangnya semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).
“UMNO tidak akan terpengaruh dengan mainan politik seperti ini. Kami kekal fokus kepada perjuangan asal mempertahankan kestabilan, memperjuangkan rakyat, dan menolak politik pura-pura,” ujarnya.- UMNO Online
