Mohd Asna Pertahan BN, Pertikai Kenyataan Pemuda MIC
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Keputusan Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan adalah selaras dengan titah Yang di-Pertua Agong (YDPA), yang menitahkan semua parti politik mewujudkan kerajaan berikutan situasi Parlimen tergantung, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.
Beliau, yang juga Timbalan Yang di-Pertua (Speaker) DUN Negeri Sembilan, menjelaskan bahawa pada pilihan raya lalu, BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dan gagal membentuk kerajaan secara bersendirian.
Katanya, daripada 20 parti yang mempunyai wakil dalam Parlimen ketika itu, 18 bersetuju mematuhi titah YDPA bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan, manakala dua parti sahaja, iaitu PAS dan PPBM, menolak penyertaan tersebut.

“Adakah salah pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima titah YDPA untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama parti lain bagi mengukuhkan kerajaan? Ini bukan kehendak Presiden UMNO/BN, tetapi takdir telah menentukan bahawa BN berkongsi kuasa dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan atas titah YDPA.
“Pengerusi BN telah menunaikan kata-kata beliau kerana pada PRU ke-15, BN bergerak secara solo tanpa bergabung dengan mana-mana parti lain. Selepas pilihan raya, parti ini menang hanya 30 kerusi dan bersedia menjadi pembangkang, tetapi disebabkan tiada mana-mana parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan ketika itu, UMNO/BN bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan atas titah YDPA.
“Sebelum parti ini menyetujui penubuhan kerajaan, Pengerusi BN meletakkan syarat kepada Pengerusi PH, bahawa jika ingin bersama, perlu berpandukan prinsip, iaitu prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Asna, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, mengakui bahawa slogan ‘No Dap, No Anwar, No Bersatu’ merupakan pendirian BN sebelum PRU ke-15 dan telah ditunaikan apabila BN bergerak secara solo tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti pada pilihan raya tersebut.
“Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke, berjanji akan patuh dan setuju dengan segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk empat perkara ini: Islam sebagai Agama Persekutuan; Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh disentuh dan mesti dipertahankan; kedudukan orang Melayu dalam Perkara 153; serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perkara 42, 79 dan 82. Syarat tersebut mereka bersetuju dan tidak akan sentuh serta akan mempertahankan,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Asna turut mempertikaikan kenyataan Pemuda MIC, yang sering memanipulasi kenyataan Pengerusi BN, termasuk isu pendirian ‘No Bersatu’ yang kekal konsisten sehingga hari ini.
“Saya tahu MIC telah memohon untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), tetapi mengapa MIC tidak menghantar surat cerai kepada BN? Sebaliknya, dalam diam, mereka meminta bertunang dengan PN. MIC perlu mencari jalan menonjolkan perancangan dan kerja yang baik, bukan dengan menyalahkan orang lain apatah lagi menghina Pengerusi BN.
Tindakan perlu dikenakan terhadap pimpinan MIC yang biadap ini demi menjaga kerukunan dalam BN. Sepatutnya, sebagai pemimpin parti dalam komponen BN, mereka lebih rasional.
“Tidak pasti sama ada MIC boleh dihidupkan semula ke zaman kegemilangannya atau tidak kerana tiada usaha dari pemimpin parti untuk turun ke setiap bahagian di seluruh negara bagi berjumpa dengan akar umbi untuk menjelaskan isu semasa politik, seperti yang dilakukan oleh UMNO selepas kekalahan pada PRU ke-14,” jelasnya lagi. – UMNO Online
