Kerjasama Kerajaan Negeri, Persekutuan Penting Bawa Agenda Pembangunan Luar Bandar

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, memaklumkan komitmen beliau dalam membawa agenda pembangunan luar bandar secara menyeluruh menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebagai Exco Negeri Sembilan yang memegang portfolio pembangunan luar bandar, saya komited untuk membawa suara rakyat ke peringkat nasional.

“Kerjasama strategik penting bagi memacu pembangunan lestari dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar,” katanya.

Jalaluddin berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya pada
Mesyuarat Penyelarasaan antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta exco-exco kerajaan negeri portfolio pembangunan desa. 

Menurut Jalaluddin lagi, sesi libat urus tersebut amat penting bagi memastikan segala dasar dan program pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara lebih tersusun serta berimpak tinggi.

“Sebagai wakil Negeri Sembilan, saya sangat menghargai peluang ini untuk berkongsi idea dan mendengar strategi nasional bagi memajukan kawasan luar bandar kita.

“Mesyuarat ini juga memberi ruang untuk menyelaraskan inisiatif pembangunan luar bandar, memastikan setiap projek tepat sasaran dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

“Perbincangan yang penuh konstruktif ini memperkukuh kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri, demi kesejahteraan komuniti luar bandar,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO