Kampung Angkat Madani MDIO Cermin Komitmen Kerajaan Dekati Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan projek Kampung Angkat Madani Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) sebagai cermin kepada komitmen kerajaan mendekati rakyat.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut memaklumkan bahawa sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf Masjid Kampung Jeram Besu dan Tabika KEMAS di Kampung Jeram Besu, Raub.

“Saya berbesar hati merasmikan Peluncuran Kampung Angkat Madani Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) di Kampung Jeram Besu, Raub pada Isnin.

“Inisiatif ini bukan sekadar program simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Madani yang turun ke lapangan, mendekati rakyat dan membangunkan komuniti secara menyeluruh, tersusun serta berterusan.

“Dengan peruntukan RM1 juta, tumpuan diberikan kepada naik taraf Masjid Kampung Jeram Besu dan Tabika KEMAS. Ini adalah dua institusi teras yang menjadi nadi pembentukan rohani dan pendidikan awal anak-anak. Pendekatan ini berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan dan Ihsan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk menangani isu asas rakyat selari dengan Aspirasi Pahang 1st.

“Kerajaan Negeri Pahang terus komited menangani isu asas rakyat. Alhamdulillah, projek mengatasi masalah kekeruhan air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Bilut telah siap sepenuhnya, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada lebih 8,000 akaun pengguna di daerah Raub.

“Segala usaha ini adalah selari dengan Aspirasi Pahang 1st, iaitu pendekatan pentadbiran Kerajaan Negeri yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan utama dalam memastikan setiap dasar, peruntukan dan pelaksanaan pembangunan dinilai berdasarkan manfaat sebenar dirasai rakyat di peringkat akar umbi, bukan retorik atau sensasi.

“Insya-Allah, dengan kebersamaan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi pelaksana dan rakyat, kita akan terus membina Pahang Darul Makmur yang lebih maju, harmoni serta sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO