Isu UEC: Sensasi Murahan Atau Strategi Politik? – Razlan Rafii

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, menegaskan bahawa isu Unified Examination Certificate (UEC) sering menjadi “takwim tahunan” bagi sesetengah pihak politik, dengan cara yang dikhuatiri boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, terdapat pihak tertentu yang sengaja memperbesarkan isu berkenaan demi meraih perhatian, populariti, dan sokongan politik. Menurut Razlan, tindakan sebegini bukan sekadar sensasi murahan, tetapi juga strategi untuk memanipulasi ketakutan serta menyemai kebimbangan dalam kalangan sesuatu kaum.

“Isu UEC kerap kali dijadikan bahan untuk mencetuskan kontroversi yang tidak berkesudahan. Ini jelas menunjukkan bahawa sesetengah pihak lebih mementingkan agenda politik mereka berbanding kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Razlan menambah bahawa rakyat perlu lebih bijak dan kritis dalam menilai maklumat yang diterima, khususnya berkaitan isu sensitif seperti pendidikan dan perpaduan kaum. Beliau menegaskan bahawa agenda yang menyasarkan untuk menimbulkan keresahan dalam masyarakat harus ditolak kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.

“Rakyat tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan isu-isu yang sengaja diperbesar. Kita harus menumpukan perhatian kepada penyelesaian sebenar, bukan hanya drama politik yang menjadikan rakyat mangsa,” katanya lagi.

Isu berkaitan UEC kembali dibangkitkan oleh pemimpin Dap yang mendesak kerajaan mempercepatkan pengiktirafannya.

Namun demikian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa sebarang tuntutan termasuk untuk mengiktiraf UEC tidak boleh meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara malah mana-mana tuntutan itu tidak boleh dibincangkan secara terpisah daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas Bahasa Kebangsaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO