UEC: Tuntutan Lama Dikitar Semula, Jangan Gadai Kedaulatan Negara – Anil Sandhu
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Desakan berterusan supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu atau Unified Examination Certificate (UEC) dilihat semakin melampau dan menjijikkan apabila isu sensitif itu terus dipolitikkan tanpa mengambil kira suara majoriti rakyat Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu menyifatkan tindakan pihak tertentu, sebagai cubaan terdesak untuk meraih sokongan penyokong tegar dengan mengitar semula tuntutan lama yang sudah berkali-kali ditolak.
Jelasnya, lebih dikesalkan, mereka seolah-olah buta terhadap realiti bahawa isu UEC tidak pernah mendapat mandat rakyat secara menyeluruh.

“UEC bukan isu teknikal, tetapi isu kedaulatan negara. Silibusnya tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, tidak berpaksikan bahasa kebangsaan dan gagal mencerminkan semangat Perlembagaan Persekutuan. Namun hakikat ini sengaja diputarbelit demi kelangsungan agenda politik sempit.
“Lebih memualkan, isu UEC sering dipakejkan atas nama ‘hak dan keadilan’, sedangkan kesannya jelas berpotensi memecahbelahkan rakyat serta membuka pintu kepada tuntutan-tuntutan lain yang lebih ekstrem. Ini bukan perjuangan, sebaliknya ugutan politik terhadap kestabilan negara.
“Rakyat semakin muak melihat isu sensitif seperti ini dijadikan pentas untuk menonjolkan diri sebagai ‘wira kaum’, kononnya berani memperjuangkan sesuatu yang mereka sendiri sedar tidak akan diterima majoriti. Ini bukan keberanian, ini keangkuhan politik,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Bendahari Pemuda UMNO Sabah menjelaskan Malaysia tidak boleh terus dijadikan medan eksperimen ideologi sempit.
“Negara ini dibina atas kontrak sosial, bukan desakan politik berasaskan kepentingan kelompok bukannya tunduk kepada desakan politik bersifat perkauman dan agenda sempit yang mengabaikan sensitiviti serta keharmonian masyarakat majmuk.
“Jika isu UEC terus dipaksa, rakyat berhak mempersoalkan niat sebenar di sebalik kebisingan ini,” katanya lagi.
Persoalannya, adakah wajar dasar negara digadaikan semata-mata untuk memenuhi kehendak kelompok kecil, sedangkan majoriti rakyat menuntut sistem pendidikan yang satu dan berteras identiti nasional?
Tambah beliau, tindakan menghidupkan semula isu sensitif ini jelas memperlihatkan kegagalan pihak tertentu menawarkan dasar yang benar-benar menyatukan rakyat, lalu memilih jalan pintas dengan meniup api perpecahan demi keuntungan politik jangka pendek.
“Semua pihak agar menghentikan polemik tidak berkesudahan berhubung UEC dan memberi tumpuan kepada agenda yang lebih besar, iaitu membina dasar inklusif, adil dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan,” ujarnya. – UMNO Online
