Mohamed Khaled Turun Padang, Tinjau Kemudahan Rekreasi FELDA

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah turun padang untuk meninjau keadaan fasiliti rekreasi di FELDA Bukit Easter dan Bukit Aping Timur pada Ahad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa sebanyak RM35,000 telah diluluskan untuk kerja-kerja meratakan semula permukaan padang FELDA Bukit Easter.

“Saya berkesempatan mengadakan lawatan ke padang FELDA Bukit Easter untuk meninjau keadaan semasa kemudahan awam yang telah dinaik taraf bagi kegunaan komuniti setempat, khususnya golongan belia.

“Sebelum ini, sejumlah peruntukan sebanyak RM35,000 telah diluluskan untuk kerja-kerja meratakan semula permukaan padang termasuk pembelian ‘water pump’ baharu bagi menggantikan peralatan yang telah rosak. Alhamdulillah, usaha ini menjadikan padang lebih selesa dan selamat untuk aktiviti sukan dan riadah.

“Saya dimaklumkan masih terdapat beberapa perkara kecil yang perlu diberi perhatian dan akan diteliti dari semasa ke semasa. Insya-Allah, fasiliti yang menjadi tumpuan generasi muda ini akan terus diberi keutamaan agar kekal selesa, selamat dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya pada masa akan datang.

“Padang bukan sekadar tempat bersukan, tetapi ruang membina disiplin, persahabatan dan semangat kebersamaan anak muda,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyokong cadangan untuk membangunkan kawasan rekreasi ini dibangunkan sebagai destinasi pelancongan desa.

“Seterusnya saya berkesempatan melawat Balai Raya FELDA Bukit Aping Timur untuk meninjau kerja-kerja baik pulih yang sedang berjalan. Sebelum ini, sejumlah peruntukan telah diluluskan untuk memastikan balai raya ini lebih selesa dan sesuai untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Lawatan ini turut diserikan dengan Program Santai Memancing di Kolam Rekreasi FELDA Bukit Aping Timur yang mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat, sekali gus mengeratkan silaturahim dan semangat muafakat dalam komuniti FELDA.

“Saya menyokong cadangan agar kawasan rekreasi ini dibangunkan sebagai destinasi pelancongan desa, memanfaatkan tarikan semula jadi, keunikan kehidupan FELDA dan kekuatan komuniti setempat bagi menarik minat masyarakat bandar merasai pengalaman kehidupan desa.

“Insya-Allah, usaha ini bukan sahaja mampu menjana ekonomi setempat, malah memelihara identiti, budaya dan nilai kebersamaan masyarakat FELDA,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO