MARA Terus Perkasa Ekosistem Keusahawanan Wanita
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan komitmen institusi itu dalam memperkasa wanita melalui sokongan menyeluruh merangkumi latihan, bimbingan dan akses kepada ekosistem keusahawanan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, ia dibuktikan dengan pelaksanaan Program Pemerkasaan Wanita MARA 2025 yang ke 93 di seluruh Malaysia pada tahun ini dan penutup tirai buat tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Perdana Tampin.
“Program ini membuka ruang dan peluang kepada wanita, khususnya di peringkat akar umbi, untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang keusahawanan.
“Justeru, agenda #MerakyatkanMARA perlu terus diperkasakan agar segala kemudahan dan peluang di bawah MARA dapat dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu Dr Asyraf turut menyifatkan MARA selama lebih 60 tahun memainkan peranan membangunkan anak bangsa, membuktikan bahawa tiada jalan pintas dalam membina kekuatan ekonomi dan modal insan.
Namun, katanya masih terdapat golongan yang belum benar-benar memahami peluang besar yang tersedia khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.
“Program ini memberi fokus kepada wanita luar bandar sebagai pemacu ekonomi setempat, selari dengan usaha mewujudkan pembangunan yang inklusif dan seimbang.
“Insya-Allah, wanita berupaya menjadi agen perubahan kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara,” ujar beliau. – UMNO Online
