ETS: Gunakan Pengangkutan Awam… Lebih Selesa, Jimat Masa – Azalina
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan perjalanan menjadi lebih mudah apabila menggunakan pengangkutan awam.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan bahawa beliau telah memilih Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk pulang ke Kuala Lumpur pada Ahad.

“Selesai urusan di kawasan, saya pilih untuk pulang ke Kuala Lumpur menaiki ETS dari Johor Bharu Sentral – KL Sentral yang baru sahaja dilancarkan oleh Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.
“Perjalanan jadi lebih mudah apabila pilih pengangkutan awam — lebih selesa, jimat masa, kurangkan stres… tak perlu tempuh trafik jem dan lebih mesra alam.
“Terima kasih kepada Team Kereta Api Tanah Malaysia (KTM) Berhad di atas segala bantuan yang diberikan semalam,” katanya.
Pada Khamis media melaporkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen KTMB Kempas Baru, di sini pada Khamis.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Projek sepanjang 192 kilometer itu turut merangkumi pembinaan sebelas stesen baharu iaitu Segamat, Genuah, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Mengkibol, Renggam, Layang-Layang, Pulai dan Kempas Baru.
Perkhidmatan ETS berkelajuan operasi 140 kilometer sejam membolehkan perjalanan dari Johor Bahru ke KL Sentral ditempuh hanya empat jam setengah, manakala perjalanan penuh hingga Padang Besar mengambil kira-kira 10 jam.
Pembangunan itu memberi impak besar kepada rakyat antaranya membuka peluang pekerjaan tidak langsung dalam sektor perniagaan, logistik, makanan serta pengangkutan sampingan di kawasan sekitar stesen-stesen baharu. – UMNO Online
