Tolak UEC: Pemuda UMNO Ipoh Barat Harap Kerajaan Buat Penilaian Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat berharap agar kerajaan membuat penilaian menyeluruh dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dibangkitkan oleh segelintir pihak.
Ketuanya, Muhammad Hamzah Hamdan menerusi satu kenyataan berkata, mereka berpendirian untuk tidak menyokong pengiktirafan UEC kerana ia tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang tidak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

“Isu pengiktirafan UEC kembali diperkatakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini. Topik ini dibangkitkan semula oleh pihak terbabit yang meluahkan hasrat untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Malaysia bagi memohon kelulusan pengiktirafan UEC selepas berlaku perubahan corak sokongan pengundi terhadap parti berkenaan.
“Situasi ini membuka semula perdebatan lama tentang kedudukan UEC dalam sistem pendidikan negara. Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat mengambil pendirian untuk tidak menyokong pengiktirafan UEC atas beberapa sebab utama.
“Pertama, ia tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan kerana UEC tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan dan tidak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan UEC juga dilihat tidak adil terhadap pelajar arus perdana dan mengukuhkan pemisahan aliran pendidikan.
“Kedua, ia tidak adil kepada pelajar arus perdana. Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) melalui laluan standard yang diselaraskan oleh kerajaan dan kesetaraan dengan UEC menimbulkan isu keadilan.
“Ketiga, ia dilihat mampu untuk mengukuhkan pemisahan aliran pendidikan. Pengiktirafan UEC boleh menambah jurang antara sekolah kebangsaan dan sistem persendirian, sekali gus menjejaskan usaha penyatuan pelajar,” katanya.

Mengulas lanjut beliau menegaskan bahawa keputusan mengenai dasar pendidikan mesti memelihara perpaduan, keadilan dan identiti kebangsaan.
“Akhir sekali, UEC dilihat akan mengganggu-gugat kedudukan Bahasa Melayu. Ini kerana, sebarang kelayakan rasmi negara perlu menyokong peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Pemuda UMNO Ipoh Barat berharap kerajaan membuat penilaian yang menyeluruh demi kepentingan jangka panjang sistem pendidikan negara. Keputusan mengenai dasar pendidikan mesti memelihara perpaduan, keadilan dan identiti kebangsaan,” katanya lagi. – UMNO Online
