Sukan SEA Thailand: Ahmad Zahid Turun Padang Beri Sokongan Moral

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, turun padang untuk memberi sokongan kepada atlet-atlet negara yang beraksi di Sukan SEA Thailand 2025.

Beliau yang juga Presiden UMNO hadir menyaksikan acara lelaki berpasukan pada petang semalam dan berkesempatan beramah mesra serta memberikan kata-kata semangat kepada atlet sebelum mereka memulakan saingan.

“Alhamdulillah, pasukan negara kita telah menghadiahkan dua pingat buat Malaysia iaitu pingat perak bagi acara kata lelaki berpasukan dan pingat gangsa bagi acara kata wanita berpasukan.

“Tahniah saya ucapkan! Anda semua telah memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada barisan jurulatih, pegawai dan penyokong yang sentiasa berada di belakang skuad karate negara.

Beliau berharap kejayaan hari ini menjadi penyuntik semangat kepada kontinjen Malaysia untuk terus menambah kutipan pingat sepanjang temasya tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada atlet-atlet lain yang bakal bertanding, “Jaga diri, jaga kesihatan dan berjuanglah dengan penuh semangat!” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO