Mohd Zaidy Tekankan Pentingnya Perhatian Serius Terhadap Isu dan Keperluan Rakyat
SEREMBAN, 12 Dis – Persidangan Perbahasan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 melabuhkan tirainya semalam dengan penuh komitmen daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.
Mohd Zaidy menegaskan bahawa setiap isu, cadangan, dan keperluan rakyat perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.
“Persidangan ini memberi peluang kepada kami untuk menyuarakan kebimbangan rakyat dan mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi memastikan belanjawan tahun 2026 benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan,” kata beliau.

Ujarnya, walaupun hari terakhir persidangan, perbahasan tetap berlangsung dengan bernas dan penuh tertib.
“Kita semua komited untuk memperkasa agenda pembangunan negeri. Penutupan persidangan ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada usaha berterusan untuk membela rakyat dan membawa perubahan,” jelasnya.
Terdahulu beliau telah membangkitkan berkaitan isu anjing liar yang sering berkeliaran di Kampung Orang Asli Klebang.
Beliau menjelaskan bahawa penduduk kini hidup dalam keadaan bimbang apabila kawasan tersebut dikenal pasti sebagai tempat tumpuan dan pengumpulan anjing liar.
“Penduduk terutamanya kanak-kanak dan warga emas berada dalam keadaan tidak selamat. Kita tidak boleh tunggu sehingga berlaku insiden baru mahu bertindak,” tegas beliau dalam sidang tersebut.
Mohd Zaidy turut mencadangkan agar kerajaan negeri memperkemas prosedur tangkapan, mewujudkan operasi berjadual, dan meningkatkan koordinasi antara agensi agar tindakan lebih cepat, tersusun dan berkesan.
Menjawab persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab, Exco kanan negeri menjelaskan bahawa isu pengurusan anjing liar adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran, dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk prosedur tangkapan dan kawalan haiwan malah turut memberi jaminan bahawa langkah-langkah segera akan diambil demi memastikan keselamatan penduduk setempat. – UMNO Online
