Jeffery Nor Tegaskan Komitmen Terhadap Amanah, Ketelusan Dan Kesejahteraan Komuniti
PUTATAN, 12 Dis – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed menegaskan komitmennya untuk sentiasa mendekati rakyat dan menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan ketelusan.
Menurut beliau, pejabat UMNO Bahagian Putatan sentiasa terbuka kepada rakyat yang ingin mengemukakan masalah atau mendapatkan khidmat bantuan, tanpa perlu melalui birokrasi yang berbelit.

“Kalau saya ada di pejabat, insyaAllah saya akan cuba layan semua. Saya sedar tidak semua orang akan berpuas hati, kerana kemampuan kita ada had, tetapi saya tetap berusaha membantu mana yang saya mampu. Ini selari dengan nasihat arwah ayahanda saya, YB DS Bung Moktar Radin,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menghadiri Majlis Penyampaian Dividen dan Zakat Perniagaan FELCRA Balingian Plantation Sdn. Bhd. yang berlangsung di Masjid Setia Rajah, Mukah, Sarawak.
Ujarnya, majlis ini dianjurkan sebagai penghargaan syarikat kepada masjid dan institusi tahfiz, selain menunaikan kewajipan zakat perniagaan seperti yang ditetapkan oleh syariah.
“Ini diadakan bagi menzahirkan penghargaan syarikat kepada masjid dan tahfiz serta melaksanakan kewajipan zakat perniagaan seperti yang ditetapkan syariah.
“Melalui majlis yang diadakan di rumah ibadah ini, FELCRA Balingian Plantation menegaskan komitmen mereka terhadap amanah, ketelusan dan kesejahteraan komuniti.
“Majlis ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara syarikat dan masyarakat setempat, di samping membawa keberkatan dalam setiap urusan perniagaan.”

Selain menghadiri majlis berkenaan, Jeffery juga berkesempatan mengunjungi ladang kelapa sawit Estate Balingian dan melawat rumah pekerja.
“InsyaAllah, rumah pekerja ini akan dibaik pulih demi memastikan keselesaan dan kebajikan mereka sentiasa terpelihara. Kami percaya, pekerja yang sejahtera akan memberi sumbangan yang lebih bermakna kepada pembangunan ladang serta komuniti setempat,” katanya lagi. – UMNO Online
