Isu Tuntutan Sulu: Azmi Sifatkan Azalina Menteri Bertanggungjawab, Pertahan Kedaulatan
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Geostrategis, Profesor Dr Azmi Hassan menyifatkan kemenangan Malaysia dalam isu tuntutan Sulu membuktikan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said adalah seorang menteri yang bertanggungjawab.
Beliau yang juga Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata, kes tuntutan tersebut adalah tidak mudah kerana ia melibatkan perundangan antarabangsa yang merentasi sempadan beberapa buah negara.

“Azalina adalah antara menteri yang fokus kepada tanggungjawabnya. Apabila tanggungjawab diberi untuk berhadapan dengan tuntutan Sulu, ia bukan satu perkara mudah.
“Ini kerana ia melibatkan institusi di luar negara dan ada dikatakan ‘backers’… menyokong mereka yang dikatakan membuat tuntutan Sulu dalam hal ini. Jadi, bukan mudah kerana ia melibatkan perundangan antarabangsa, merentas sempadan beberapa negara.
“Ini adalah salah satu contoh jikalau seseorang menteri itu fokus kepada kerja… itu mempamerkan kita mempunyai kelas tersendiri terutamanya dalam hal Ahli Parlimen Pengerang ini,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, ketiadaan masalah-masalah sisi seperti ganggu-gugat daripada pihak pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan turut menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan tersebut.
“Ini juga salah satu contoh bahawa jikalau tidak ada masalah-masalah sisi seperti yang katakan pembangkang nak jatuhkan kerajaan, maka jemaah menteri boleh menjalankan tugas mereka.
“Kalau kita lihat dalam tahun pertama dan kedua, masih ada cakap-cakap bahawa pembangkang nak jatuhkan kerajaan persekutuan. Tetapi, apabila masuk tahun ketiga, ketika ini perkara itu dikatakan tidak berbunyi lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru agar jasa-jasa kumpulan yang diketuai oleh Azalina dalam isu tuntutan Sulu ini dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Jadi, ini memberi satu anologi bahawa jemaah menteri boleh melakukan tugas mereka dengan baik, telus, cekap dan kepakaran yang ada. Jikalau tidak ada masalah-masalah sisi ini yang ditimbulkan oleh pembangkang umpamanya nak menjatuhkan kerajaan.
“Jadi, inilah yang dikatakan contoh baik. Kita seharusnya menghargai jasa-jasa kumpulan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pengerang dalam isu tuntutan Sulu ini,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ dalam tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah disifatkan sebagai kemenangan besar kepada negara.
Azalina, berkata kemenangan itu bukan sahaja kejayaan undang-undang, malah kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia terutama rakyat Sabah.
War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada 9 Disember, dan kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi tadi.
Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Award Akhir’ itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
