#GerikDihatiku: Dr Asyraf Santuni, Ziarahi Masyarakat
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah turun padang untuk menyantuni dan menziarahi warga Gerik pada Khamis.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya Dr Asyraf memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan kotak makanan kepada 500 keluarga Orang Asli sempena merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Banun.

“Seperti menjadi kelaziman setiap kali pulang ke Gerik, jadual amat padat tetapi santai. Bermula dengan perasmian Majlis Kecemerlangan Tabika Perpaduan, kemudian ke Perkampungan Orang Asli untuk merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Banun. Menyerahkan kotak makanan kepada 500 keluarga Orang Asli di sini.
“Kemudian berkesempatan menziarahi penduduk setempat yang uzur, ditimpa musibah dan ziarah bersempena kenduri perkahwinan di sekitar Kampung Jong, Kerunai dan Kampung Padang Stang, Gerik. Setiap kunjungan, saya sempat bertanya khabar dan menyampaikan sedikit bantuan untuk meringankan beban mereka.

“Kemudian menunaikan solat maghrib berjemaah di Surau Al-Aziziah, Kampung Gerik sebelum ziarah keluarga adik Wan Aliff Che Wan Muhammad Muliyana yang ditimpa sakit buah pinggang dan ibunya menghidap kanser. Semoga Allah berikan kesembuhan segera kepada mereka insyaAllah,” katanya.
Dr Asyraf yang juga Pengerusi MARA turut menyampaikan empat buah komputer riba untuk memudahkan anak-anak tersebut melanjutkan pelajaran.
“Pada sebelah malam, saya berpeluang menyampaikan bantuan empat buah komputer riba kepada empat keluarga yang memerlukan untuk memudahkan anak-anak mereka menyambung pelajaran.

“Semoga sedikit ikhtiar ini menjadi pembuka jalan kepada masa depan lebih cerah, khususnya buat anak-anak Gerik yang punya cita-cita tinggi.
“Jadual padat diakhiri dengan bersantai minum malam di Stesen Bas Gerik bersama penduduk tempatan. Inilah saat paling bermakna dapat duduk semeja dengan penduduk di sini, mendengar suara hati mereka secara terus dan menyampaikan bantuan setakat yang termampu bagi meringankan beban mereka. Semoga ukhuwah kita terus berkekalan selamanya,” katanya lagi. – UMNO Online
