Seminar Agropreneur RISDA 2025 Perkukuh Peranan Pekebun Kecil – Manndzri

KUALA LUMPUR, 11 Dis — Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkukuh penglibatan pekebun kecil dalam sektor agromakanan apabila menghimpunkan usahawan tani dari seluruh negara menerusi Seminar Agropreneur RISDA 2025 yang berlangsung selama tiga hari dari 8 hingga 10 Disember.

Pengerusinya, Manndzri Nasib, yang juga Ahli Parlimen Tenggara telah menyempurnakan perasmiannya dengan menzahirkan doa dan harapan agar usahawan tani di bawah RISDA terus berdaya saing, mampan serta berani melabur dalam teknologi moden bagi sektor tanaman dan ternakan.

“Terus maju jaya… sabar dan istiqamah. Lakukan usaha kerana Allah SWT,” katanya sambil menekankan pentingnya inovasi dan ketahanan dalam bidang keusahawanan tani.

Ujarnya, seminar berkenaan menjadi platform penting untuk meningkatkan kemahiran peserta selain membuka akses kepada teknologi baharu dan peluang pemasaran yang lebih luas. Usaha ini selaras dengan komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memajukan ekonomi desa melalui peningkatan produktiviti serta pendapatan pekebun kecil.

Katanya, RISDA terus komited memperkukuh peranan agropreneur dalam kalangan pekebun kecil getah bagi memastikan mereka dapat menambah pendapatan dan menyumbang kepada kemakmuran negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO