Malaysia Perkukuh Tekanan Antarabangsa Terhadap Kekejaman Israel – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Malaysia terus berusaha memastikan akauntabiliti terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, komitmen ini dizahirkan melalui sokongan padu serta penyertaan aktif Malaysia dalam prosiding Pendapat Nasihat (Advisory Opinion) di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan isu Palestin.

“Penyertaan Malaysia dalam prosiding Pendapat Nasihat ICJ berhubung kewajipan Israel berkaitan kehadiran dan aktiviti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Antarabangsa lain serta negara ketiga di Wilayah Palestin yang diduduki pada tahun ini. ICJ telah mengeluarkan dapatannya yang berpihak kepada Palestin.

“Keputusan ICJ tersebut turut mengesahkan hujah-hujah perundangan yang telah dikemukakan oleh Malaysia melalui kenyataan bertulis pada 28 Februari dan kenyataan lisan pada 28 April 2025 di ICJ dalam menyokong prosiding tersebut.

“Keputusan terbaru ini amat penting kerana ia membuktikan dan mengesahkan kependudukan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki dan tindakannya yang mencabul undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia. Ia juga menegaskan bahawa hak asasi mutlak rakyat Palestin, termasuk hak menentukan nasib sendiri yang terjamin dibawah undang-undang antarabangsa,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Senator Hussin Ismail yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah langkah dan usaha konkrit yang diambil oleh Kerajaan di peringkat antarabangsa bagi memastikan Israel dikenakan tindakan sewajarnya dibawah undang-undang antarabangsa atas pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata dan jenayah terhadap penduduk Palestin.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan Malaysia melalui kumpulan The Hague, akan terus menerajui pelaksanaan keputusan ICJ dengan tindakan yang konkrit termasuk mengenakan sekatan perdagangan dengan Israel dan melarang kapal Israel berlabuh.

“Keputusan ICJ merupakan satu kemenangan moral, politik dan perundangan bagi rakyat Palestin. Malaysia giat bekerjasama dengan negara sepemikiran untuk mengusul satu resolusi di PBB bagi melaksanakan pendapat nasihat terbaru ini.

“Malaysia juga akan terus menyokong kuat kes Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ mengenai pencabulan konvensyen Genosid 1948 dan juga tindakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, International Criminal Court (ICC),” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, kes-kes di ICC adalah langkah penting dalam membanteras budaya impuniti yang telah lama melindungi rejim zionis Israel. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO