Kes Sulu: Tanpa Senjata, Dengan Fakta Kejayaan Kerajaan Pertahan Sabah – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 11 Dis — Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan sepenuhnya ‘Final Award’ dalam tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia disifatkan sebagai kemenangan besar dalam mempertahankan kedaulatan negara, khususnya negeri Sabah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata keputusan itu membuktikan bahawa usaha berterusan kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa akhirnya membuahkan hasil selepas bertahun-tahun berdepan siri tuntutan yang dibawa ke pelbagai mahkamah luar negara.

Menurutnya, kejayaan ini hanya dapat dicapai hasil kerja bersungguh-sungguh pasukan undang-undang Malaysia yang mempertahankan negara tanpa senjata, tetapi berjuang dengan fakta dan dokumen sah di mahkamah seluruh dunia.

“Alhamdulillah kemenangan berpihak lagi kepada kerajaan Malaysia. Jika kita tidak bersungguh melawan tuntutan Sulu, mungkin kita kehilangan Sabah. Menteri dari parti ‘Malaya’ atau Barisan Nasional inilah yang berulang kali mempertahankan tanah air kita. Tidak bersenjata tetapi melawan dengan fakta di pelbagai mahkamah seluruh dunia.

“Mereka kalah di satu negara, kemudian buka kes di negara lain, lepas kalah, dia buka kes kat negara lain lagi. Begitulah serterusnya dan begitulah komitednya mereka terhadap Sabah.dan terus mencuba,” katanya yang mengulas berkaitan isu terbabit menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sebelum ini, kumpulan yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu membuka beberapa prosiding timbang tara di luar negara selepas kalah dalam kes di Malaysia.
Namun Malaysia secara konsisten berhujah bahawa tindakan tersebut tidak berasas, bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta melanggar kedaulatan negara.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kemenangan itu bukan sahaja kejayaan undang-undang, malah kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia terutama rakyat Sabah.

War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada 9 Disember, dan kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi semalam.

Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Award Akhir’ itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.

Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini telah menolak pengiktirafan dan pelaksanaan ‘Partial Award’ pada 6 Jun 2023, dan Mahkamah Agung Perancis mengekalkan keputusan itu pada 6 November 2024.

Sebelum ini, lapan warganegara Filipina yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang telah pupus memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol, menuntut pampasan berjumlah berbilion terhadap Malaysia berhubung Sabah.

Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes berkenaan.

Pada 28 Februari 2022, Stampa mengeluarkan ‘Award Akhir’ berjumlah AS$14.9 bilion memihak penuntut, melalui proses timbang tara yang tidak sah kerana pelantikannya telah dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO