Ahmad Zahid Bertemu PM Thailand, Bincang Perkembangan Keselamatan Serantau

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, bagi membincangkan perkembangan keselamatan serantau serta isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

Pada pertemuan tersebut beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan Malaysia amat prihatin terhadap situasi yang sedang berlaku dan berharap segala usaha penyelesaian dapat dilakukan demi keselamatan orang awam serta kestabilan wilayah.

“Selaras dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyatakan bahawa semua pihak mesti mengutamakan keselamatan rakyat serta kembali kepada saluran diplomasi dan pematuhan undang-undang antarabangsa bagi meredakan keadaan yang semakin membimbangkan.

“Malaysia juga berharap kedua-dua negara akan terus komited memastikan gencatan senjata dipatuhi dan melaksanakan sepenuhnya Kuala Lumpur Peace Accord demi menjamin keselamatan komuniti di kedua-dua belah sempadan,” katanya.

Beliau turut berkata Malaysia kekal komited untuk mengambil langkah tegas, menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu-isu yang terkait demi memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan serantau terus terpelihara.

Katanya lagi, Malaysia juga menghargai hubungan erat dengan Thailand dan akan terus memperkukuh kerjasama demi sempadan yang lebih terjamin serta masa depan ASEAN yang lebih stabil dan berdaya tahan.

“Saya dan Anutin turut menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama Malaysia–Thailand dalam kesiapsiagaan dan tindak balas bencana rentas sempadan. Selaras dengan persetujuan pertengahan tahun ini, kedua-dua negara akan meningkatkan perkongsian data meteorologi, sistem amaran awal, koordinasi antara agensi serta latihan bersama dalam menghadapi risiko banjir, ribut dan bencana lain yang semakin mencabar akibat perubahan iklim.

Menurut beliau pada pertemuan ini juga, Malaysia dan Thailand juga membincangkan potensi perluasan kerjasama dalam bidang TVET, khususnya latihan kemahiran dalam sektor pembuatan, pertanian, teknologi digital serta program mobiliti pelajar dan pensyarah.

“Kerjasama TVET ini mampu meningkatkan peluang pekerjaan, memantapkan pembangunan modal insan dan menyokong pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.

“Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama industri halal termasuk pembangunan rantaian nilai halal pelaburan dalam produk halal dan peluang eksport bersama.

“Malaysia menyambut baik minat Thailand untuk meneroka potensi halal secara lebih menyeluruh, memandangkan permintaan global yang semakin meningkat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO