Mesyuarat MKT UMNO Berjalan Harmoni, Ahmad Zahid Tekankan Kesatuan

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn, WTC Kuala Lumpur malam tadi, yang disifatkan sebagai mesyuarat penting dalam memperkukuh hala tuju dan kedudukan parti dalam landskap politik semasa.

Mesyuarat dimulakan dengan majlis tahlil dan doa untuk Almarhum Datuk Seri Bung Moktar Radin.

 

Ahmad Zahid menyifatkan pemergian tokoh itu sebagai satu kehilangan besar kepada parti, namun menegaskan semangat perjuangannya akan terus hidup dalam jiwa warga UMNO.

“Pemergiannya satu kehilangan besar, namun semangat perjuangannya tetap hidup dalam jiwa UMNO,” katanya.

Allahyarham Bung Moktar yang juga ahli MKT dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah meninggal dunia pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, iaitu beberapa hari selepas mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam PRN Sabah.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, perbincangan pada malam tadi berjalan dengan harmoni serta penuh muafakat, mencerminkan kesatuan kepimpinan dalam memperkasa gerak kerja parti.

“Insya-Allah, keputusan ini akan menguatkan lagi usaha kita dan memacu UMNO ke hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman facebooknya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat MKT tersebut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi UMNO. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO