Inisiatif Pengasingan Peguam Negara, Pendakwa Raya Memasuki Fasa Kedua Pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Inisiatif pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini telah memasuki fasa kedua pelaksanaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelasnya, fasa kedua tersebut akan memberikan tumpuan kepada beberapa perkara termasuklah memuktamadkan struktur institusi untuk memastikan pelaksanaan agenda reformasi dapat berjalan dengan menyeluruh dan berkesan.

“Inisiatif pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki fasa kedua pelaksanaan, selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri terhadap model pengasingan penuh seperti diperincikan dalam Laporan Akhir Kajian Komparatif. Saya telah menyerahkannya kepada Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diketuai oleh Timbalan saya, M.Kulasegaran pagi Selasa.

“Laporan tersebut merumuskan hasil kajian komprehensif yang merangkumi perbandingan amalan terbaik antarabangsa dan pandangan lebih 7,000 responden melalui beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus, soal selidik serta temu ramah.

“Fasa kedua ini akan memberi tumpuan kepada memuktamadkan struktur institusi, penelitian keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan undang-undang berkaitan dan penggubalan undang-undang baharu untuk memastikan pelaksanaan agenda reformasi ini berjalan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen utuh dan tekad politik Kerajaan Madani untuk memperkukuh kebebasan, integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Hadir sama dalam perbincangan ini termasuklah William Leong Jee Keen (Ahli Parlimen Selayang, merangkap Pengerusi JKP Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat), Senator Rita Sarimah Patrick Insol (Ahli Dewan Negara, merangkap Pengerusi JKPK Semakan Undang-Undang, Dewan Negara), Datuk Che Mohamad Zulkifly usoh (Ahli Parlimen Besut) dan Khoo Poay Tiong (Ahli Parlimen Kota Melaka).

“Datuk Zamri Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Datuk Seri Umar Saifuddin Jaafar, Peguam Cara II Negara dan beberapa pegawai kanan kementerian, agensi serta Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ezri Wahab yang terlibat dalam inisiatif ini turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

“Langkah ini mencerminkan komitmen utuh dan tekad politik Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh kebebasan, integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara demi kesejahteraan rakyat sejajar dengan kerangka falsafah Malaysia Madani,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO