Belanjawan Pahang 2026: Rakyat Jadi Keutamaan, Ekonomi Diperkukuh – Zaini

BENTONG, 10 Dis – Kerajaan Negeri Pahang menekankan kesejahteraan rakyat dan pembangunan inklusif menerusi Belanjawan 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Jumaat lalu.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh, berkata belanjawan bertemakan “Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan” itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan mampan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, perbelanjaan mengurus RM1.274 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM446.26 juta, meningkat hampir 12 peratus berbanding tahun lalu, memperlihatkan usaha kerajaan negeri memperkukuh projek pembangunan dan infrastruktur di seluruh Pahang.

“Kerajaan juga mensasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.279 bilion, meningkat tujuh peratus daripada tahun sebelumnya, melalui pengurusan hasil yang lebih berkesan serta pengembangan sumber pendapatan negeri,” katanya kepada UMNO Online

Bagi sektor infrastruktur dan keperluan asas, RM455 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan, pembangunan perbandaran, pertanian dan kampung. Manakala RM64.54 juta dialokasikan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi memastikan bekalan air mencukupi dan rakyat mendapat manfaat program air percuma.

Beliau menekankan tujuh fokus utama negeri iaitu pemerkasaan Islam, pemeliharaan institusi diraja, pengukuhan warisan budaya, pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar dan tadbir urus yang baik sebagai landasan pembangunan seimbang.

“Untuk memperkukuh Islam, kerajaan memperuntukkan RM235.95 juta, meningkat lebih 20 peratus, bagi membangunkan institusi agama serta menyokong masjid dan surau,” jelasnya.

Selain itu, kerajaan memberi tumpuan kepada sektor ekonomi seperti pertanian, pelancongan dan industri kecil sederhana (IKS) bagi memastikan Pahang mampu bersaing dan berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi global.

Beliau juga menyambut baik insentif untuk penjawat awam, belia dan masyarakat luar bandar, yang diyakini mampu meringankan beban rakyat. Menurutnya, belanjawan ini menegaskan “dari rakyat, untuk rakyat”. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO