Bajet Melaka 2026 Landasan Tepat Untuk Pertumbuhan Seimbang – Haryaty Hamdzah
KUALA LUMPUR, 10 Dis – Bajet Melaka 2026 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan rakyat terus terbela dan tidak tercicir dalam arus pembangunan.
Exco Wanita UMNO Malaysia Datuk Haryaty Hamdzah berkata, ada banyak langkah positif yang telah diumumkan, dan ini menunjukkan bajet kali ini bukan sekadar angka, tetapi usaha untuk mendekati denyut nadi rakyat.
“Tidak dinafikan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah membawa kestabilan kepada pentadbiran negeri. Beliau adalah arkitek kepada banyak pelaburan baharu dan pembaharuan struktur yang Melaka sedang manfaatkan.
“Kita telah berjaya pada tahun 2025 dengan penganjuran bertaraf dunia, dan tagline ‘Mana Lagi, Melaka Lerrr’ sememangnya mengangkat identiti negeri ke persada dunia. Dari segi pelancongan pula, melalui bajet ini Melaka terus bergantung kepada festival dan acara besar.
“Namun industri pelancongan moden menuntut lebih daripada itu. Ia perlu pengalaman yang berkualiti, sesuai untuk keluarga, selamat untuk wanita, dan benar-benar memberikan pendapatan kepada rakyat tempatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Tambah beliau, aktiviti pelancongan ini bermanfaat untuk warga Kota Melaka khasnya. Bukan sekadar menjadi warga bandar menjadi penonton semata-mata.
“Birokrasi dan dominasi pihak tertentu dikawasan tumpuan pelancong dalam kawasan Unesco perlu dipantau. Pelancongan acara hanya memberi sorakan seketika, kita inginkan pelancongan yang memberi pulangan jangka panjang.”
Mengulas lanjut, Haryaty yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Melaka menjelaskan dalam bajet Melaka 2026 ini, wanita tidak muncul sebagai kumpulan sasaran utama.

“Saya secara peribadi mengimpikan lebih banyak faedah dan tumpuan kepada kelompok ini kerana wanita hari ini bukan lagi figura sampingan. Wanita adalah separuh daripada penduduk Melaka. Mereka adalah ahli ekonomi utama keluarga, usahawan, tenaga digital, malah pemimpin komuniti.
“Tetapi bajet kali ini masih belum menyediakan sokongan struktur yang mencukupi untuk wanita bekerja, ibu tunggal ataupun keluarga muda yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup. Bajet ini juga turut mengumumkan usaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka ke arah menjadi antara Bandar Pintar yang terbaik di Malaysia.
“Ini langkah yang sangat dialu-alukan. Jika dilaksana dengan betul, bandar pintar boleh membawa banyak manfaat terutama kepada wanita. Bayangkan Melaka yang lebih selamat, lebih mudah bergerak, lebih mesra ibu bekerja, dan lebih cekap dari segi perkhidmatan digital. Itu bukan sekadar kemajuan, tetapi kesejahteraan,” jelasnya.
Namun Pengerusi HAWA Melaka itu berkata, dalam konteks digital beliau tertarik dengan pengumuman mengenai projek 250,000 akaun emel rakyat Melaka bernilai RM650,000.
“Adakah emel khas ini benar-benar keperluan rakyat? Atau sekadar mahu menunjukkan imej digital tanpa impak praktikal.
“Dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit keluarga, kita wajar tahu bagaimana projek ini memberi manfaat sebenar kepada kehidupan harian mereka. Pastinya rakyat tidak menolak kemajuan, tetapi mereka mahukan kemajuan yang bermanfaat,” ujarnya.
Pada masa yang sama beliau menambah imbuhan RM500 yang diberikan kepada pengamal media dan RM150 bagi setiap kelahiran baharu jelas menunjukkan kerajaan negeri menghargainya.
“Inisiatif seperti imbuhan RM500 kepada pengamal media dan RM150 bagi setiap kelahiran baharu adalah contoh jelas bahawa kerajaan menghargai pihak-pihak yang memainkan peranan penting dalam masyarakat.
“Pengamal media adalah barisan depan maklumat, manakala keluarga muda pula adalah harapan masa depan negeri. Walaupun nilai ini tidak besar, mesejnya cukup kuat kerajaan melihat, mendengar dan mengiktiraf peranan mereka,” ujarnya lagi. – UMNO Online
