UMNO Kepong Gesa Tindakan Segera Isu Hakisan Kritikal Di Masjid Amaniah

KUALA LUMPUR, 9 Dis – UMNO Bahagian Kepong dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 1 melahirkan rasa terkejut serta amat kecewa selepas meninjau keadaan kritikal di Masjid Amaniah, Kepong, yang kini berdepan ancaman serius akibat hakisan tebing sungai di bahagian belakang kompaun masjid.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman berkata, hasil lawatan tapak mendapati struktur masjid berada dalam keadaan membimbangkan berikutan masalah hakisan tebing sungai yang semakin teruk, khususnya ketika musim hujan lebat.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja mengancam keselamatan para jemaah, malah turut menjejaskan peranan masjid sebagai pusat ibadah dan tumpuan komuniti setempat.

“UMNO Bahagian Kepong menyatakan keprihatinan terhadap isu hakisan yang dialami Masjid Amaniah, Kepong, yang telah berlarutan lebih 10 tahun. Masalah tersebut turut menjejaskan struktur tapak masjid, khususnya setiap kali hujan lebat. “UMNO Bahagian Kepong memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan jemaah serta kelangsungan fungsi masjid sebagai pusat komuniti. Menurut pihak Pengurusan Masjid Amaniah, aduan telah berkali-kali disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan, namun sehingga kini belum ada tindakan signifikan diambil. “Setiap kali hujan lebat, arus deras sungai menghakis tanah di bahagian belakang masjid sehingga jarak antara tebing sungai dan bangunan semakin mengecil dan menjadi berbahaya. Keadaan ini menimbulkan risiko keselamatan kepada jemaah dan struktur masjid.” Tambahnya, terdapat keretakan dan tanda ketidakstabilan pada struktur tanah di bahagian belakang masjid. Tiada sebarang kerja mitigasi atau perlindungan tebing dilaksanakan meskipun aduan telah dibuat sejak bertahun-tahun. Mengulas lanjut, Abdul Razak menuntut agar agensi kerajaan segera menjalankan kerja penstabilan tebing sungai serta memasang penghadang sementara bagi mengurangkan risiko. “Pihak DBKL dan JPS segera menjalankan kerja-kerja penstabilan tebing sungai dan perlindungan hakisan di kawasan Masjid Amaniah. Pihak terbabit mesti turun segera untuk memasang ‘sheet pile’ atau penghadang sementara bagi menghentikan hakisan tanah serta-merta. “Pihak MAIWP harus mengambil peranan aktif dalam memastikan keselamatan dan kelestarian masjid-masjid di Wilayah Persekutuan. MAIWP dan agensi kerajaan mesti meluluskan peruntukan kecemasan untuk membina tembok penahan tebing (retaining wall) yang kukuh demi keselamatan jangka panjang dan meminta Ahli Parlimen Kepong perlu turun padang dan menyuarakan isu ini di peringkat Parlimen serta mendesak tindakan segera daripada agensi berkaitan,” ujarnya. Tegasnya, UMNO Bahagian Kepong akan terus memantau perkembangan isu ini dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan jemaah Masjid Amaniah terpelihara. “UMNO Bahagian Kepong akan terus mendepani isu ini secara rapat, berdiri teguh bersama kariah Masjid Amaniah dan tidak akan berdiam diri sehingga keselamatan masjid ini terjamin sepenuhnya. “Seluruh komuniti untuk bersama-sama menyuarakan keperluan mendesak ini agar tindakan segera dapat diambil,” ujarnya lagi. – UMNO Online
Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO