UMNO Beaufort Terus Perkukuh Parti, Fokus Persiapan PAU & ‘Post-Mortem’ Pasca-PRN Sabah
BEAUFORT, 9 Dis – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menegaskan komitmen beliau bersama barisan kepimpinan bahagian untuk terus memperkukuh perjuangan parti, khususnya dalam memastikan ahli serta penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak kecewa selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.
Menurut beliau, seramai 9,103 pengundi telah memberi kepercayaan kepada calon BN di DUN Klias dan DUN Kuala Penyu, dan mandat besar itu perlu dihargai melalui usaha berterusan, perancangan tersusun serta pengukuhan organisasi di semua peringkat.
“Sokongan lebih 9,000 pengundi kepada calon BN bukan angka kecil. Ini adalah amanah yang mesti kami pikul. Kita tidak boleh mengecewakan ahli dan penyokong yang teguh bersama UMNO,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Awang Aslee berkata, pertemuan dan perbincangan awal telah diadakan bersama Ketua-Ketua Sayap serta Setiausaha Bahagian (SUB) bagi menilai kembali kekuatan, kelemahan dan hala tuju bahagian.
Ujarnya, sesi itu turut memberi fokus kepada persediaan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Januari 2026, yang bakal menjadi medan penting untuk memperkukuh naratif perjuangan serta strategi UMNO dalam mendepani landskap politik semasa.
Selain itu, jelasnya, UMNO Beaufort turut merancang untuk melaksanakan post-mortem PRN Sabah dalam masa terdekat melalui Mesyuarat Bahagian.
“Menjurus kepada Persediaan PAU Januari 2026 dan persediaan ‘post mortem’ PRN Sabah yang akan diadakan mesyuarat dalam Mesyuarat Bahagian pada masa terdekat ini.”
Katanya, analisis tersebut dijangka memberi gambaran jelas tentang pola sokongan, isu tempatan, strategi kempen, serta langkah penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan UMNO kembali lebih kuat di kawasan tersebut.
“Mesyuarat ‘post-mortem’ itu juga akan menjadi platform penting untuk menyusun semula gerak kerja jentera, meningkatkan keberkesanan komunikasi parti, serta memperkukuh hubungan dengan akar umbi.
“Dengan pendekatan yang lebih strategik dan inklusif, UMNO Beaufort yakin mampu memperkukuh kedudukan parti dan terus menjadi pilihan rakyat di kawasan tersebut menjelang pilihan raya akan datang,” katanya lagi.
Pada PRN Sabah yang berlangsung bulan lalu, BN menpertaruhkan 45 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Awang Aslee yang bertanding di DUN Kuala Penyu, bagaimanapun BN hanya memenangi enam kerusi. – UMNO Online
