Perjuangan Pendidikan Anak-anak Tidak Pernah Berhenti, Terus Diperkasa – Sollehin

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Komitmen terhadap pendidikan anak-anak di Sekolah Kebangsaan Taman Palma, Kamunting, Bukit Gantang tidak pernah berhenti, kata Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Sollehin berkata beliau berbesar hati merasmikan Majlis Apresiasi Sekolah Kebangsaan Taman Palma, yang disifatkannya sebagai simbol harapan serta masa depan generasi muda.

“Saya berkesempatan merasmikan Majlis Apresiasi Sekolah Kebangsaan Taman Palma. Lebih bermakna lagi apabila anak saya sendiri turut menerima anugerah pada majlis tersebut. Ini merupakan satu kebanggaan kecil bagi saya sebagai seorang ayah.

“Saya percaya bahawa kehadiran ibu bapa menjadi suntikan keyakinan terbesar buat anak-anak. Mereka akan membesar dengan rasa yakin dan dihargai apabila melihat mak ayah sentiasa bersama mereka pada detik-detik penting seperti ini.

“Syabas saya ucapkan kepada Guru Besar, barisan pentadbir dan seluruh warga pendidik yang tidak pernah jemu mencurahkan tenaga dan ilmu. Tidak lupa, penghargaan kepada para ibu bapa yang terus komited menyokong pendidikan anak-anak,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan pendidikan di Parlimen Bukit Gantang.

“Insya-Allah, saya akan terus memberikan komitmen sepenuhnya kepada Sekolah Kebangsaan Taman Palma serta seluruh institusi pendidikan di Parlimen Bukit Gantang agar usaha membina generasi cemerlang dapat diteruskan bersama,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO