KPK Komited Perkukuh Penyelidikan, Yakin LGM Terus Pacu Industri Getah
KUALA LUMPUR, 9 Dis – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) komited untuk mengukuhkan penyelidikan dan yakin bahawa Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan terus memacu industri getah negara ke arah masa depan lebih baik.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, penyelidikan getah telah berjaya memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global.

“Pada Isnin, saya berbesar hati merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah, menandakan satu abad sejak penubuhan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) pada tahun 1925.
“Sepanjang tempoh ini, penyelidikan getah telah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global, termasuk melalui piawaian Standard Malaysian Rubber (SMR) dan pembangunan klon yang lebih produktif,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, usaha inovasi yang dilakukan oleh LGM telah menjadikan industri getah negara relevan, berdaya saing dan mampan.

“LGM terus menunjukkan kepimpinan dengan lebih 200 teknologi penyelidian dan pembangunan (R&D) yang dikomersialkan, inovasi sarung tangan perubatan, serta penggunaan galas getah berprestasi tinggi dalam infrastruktur. Usaha inovasi inilah yang menjadikan industri getah kita relevan, berdaya saing dan mampan.
“Ke hadapan, kementerian komited memperkukuh penyelidikan, pemindahan teknologi, automasi, digitalisasi ladang dan inisiatif kemampanan seperti MSNR.
“Saya yakin LGM akan terus memacu industri getah negara ke arah masa depan yang lebih mampan dan berimpak tinggi” katanya lagi. – UMNO Online
