Kerajaan Negeri Pahang Komited Pastikan Pembangunan Sukan Dirancang Teratur
KUALA LUMPUR, 9 Dis – Kerajaan Negeri Pahang komited dalam memastikan pembangunan sukan dirancang dengan teratur agar ia dapat memberikan manfaat kepada seluruh belia di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan, Fadzli Mohamad Kamal memaklumkan beliau telah melakukan lawatan rasmi ke Litar Speedway Circuit, Taman Tasik Sultan Abu Bakar pada tahun lalu untuk meneliti keadaan fasiliti tersebut.

“Menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain, berkenaan pembangunan litar permotoran di Negeri Pahang.
“Saya telah melakukan lawatan rasmi bersama Timbalan Presiden Motorsport Association of Malaysia (MAM) pada Julai, tahun lepas ke Litar Speedway Circuit, Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan untuk meneliti keadaan kemudahan litar tersebut.
“Hasil lawatan, Kerajaan Negeri Pahang telah mencadangkan penambahbaikan infrastruktur sedia ada. Permohonan peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan juga telah dikemukakan untuk tujuan pembinaan semula litar tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Fadzli yang juga ADUN Dong berkata, cadangan untuk membina sebuah lagi litar permotoran di kawasan Pahang Barat juga sedang dalam perincian.

“Selain itu, mengenai cadangan pembinaan sebuah lagi litar permotoran di kawasan Pahang Barat… perincian cadangan ini sedang dibangunkan dan hasil kajiannya akan dikemukakan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan sebaik sahaja dimuktamadkan.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Pahang komited memastikan pembangunan sukan di Pahang dirancang dengan teratur serta memberi manfaat kepada belia dan masyarakat seluruhnya,” katanya lagi. – UMNO Online
