UMNO/BN Lenggong Perkukuh Gerak Kerja, Fokus Khidmat Rakyat Secara Menyeluruh

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan komitmen berterusan pihaknya dalam melaksanakan khidmat bakti kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata untuk itu usaha berterusan digembleng oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya Lenggong bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan ini terus terbela.

“Kita bergerak dengan tekad yang satu. Kita mahu Lenggong terus makmur dan sejahtera.

“Justeru, kita akan pastikan BN Lenggong akan bekerja dengan lebih kuat dalam menyampaikan khidmat serta fokus baiki kehidupan rakyat.

“Dengan semangat kebersamaan dan kesungguhan usaha dalam mendekati rakyat, saya yakin kita mampu bawa perubahan yang benar-benar memberi makna dalam kehidupan mereka. Insya-Allah, mudah-mudahan segalanya dipermudah,” katanya.

Saarani berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Watikah Ketua–ketua dan Pimpinan Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya BN Lenggong.

Turut hadir kepimpinan UMNO Bahagian Lenggong pelbagai peringkat serta kepimpinan MCA dan MIC Lenggong.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah turut memaklumkan pelantikan Ketua PDM bagi Parlimen Lenggong merupakan langkah strategik bagi memastikan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi cabaran semasa politik yang semakin kompleks.

Menurut beliau, pelantikan ini juga penting bagi memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi serta memastikan penyampaian maklumat dan program parti dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun serta berkesan.

Selain itu katanya, antara yang dilaksanakan ialah Program UMNO Masuk Kampung bagi mendekati rakyat secara menyeluruh di kawasan ini.

“BN Lenggong telah memulakan langkah kerana menyedari cabaran sudah berbeza dan tidak sama lagi. BN Lenggong juga telah memulakan langkah bersedia. Pelantikan Ketua PDM Seluruh Kawasan Lenggong telah dilakukan.

“Pelbagai program disusun dan Program UMNO Masuk Kampung dengan sasaran 1,000 buah rumah termasuk masyarakat Orang Asli akan diadakan bulan ini.

“Ia dilakukan oleh jentera yang telah tersusun dan diselaraskan oleh Bilik Gerakan BN Lenggong,” ujar beliau.

Majlis tersebut turut melancarkan laman web BN Lenggong iaitu www.bnlenggong.com UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO