PAIP Sentiasa Titik Berat Usaha Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan Air – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sentiasa menitikberatkan usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan air di negeri, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ujarnya, penukaran paip-paip usang sepanjang 573.1 kilometer merupakan antara usaha dan strategi PAIP untuk menjayakan fokus tersebut.

“Hari kedua Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan. Saya menjawab pertanyaan Su Keong Siong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari berkaitan strategi atau pelan reduksi Non Revenue Water (NRW).
“Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Pahang Berhad sentiasa menitik berat usaha dan fokus bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan air di Negeri Pahang.
“Antara usaha dan strategi PAIP adalah menerusi penukaran paip-paip usang sepanjang 573.1 kilometer, membina District Metering Area (DMA) serta Pressure Management Area (PMA). DMA dan PMA ini turut boleh membantu mengesan kebocoran air dengan lebih efisien,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kadar NRW Negeri Pahang akan berjaya diturunkan secara berperingkat dengan perancangan berfokus tersebut.

“Kerajaan negeri percaya, sebagaimana masalah ‘blackspot’ yang kini semakin baik dan dapat diatasi oleh PAIP… dengan perancangan yang berfokus seperti di atas, PAIP akan berjaya menurunkan kadar NRW Negeri Pahang secara berperingkat dan mencapai sasaran ditetapkan.
“Kerajaan negeri yakin sebagaimana isu ‘blackspot’ yang kini semakin berjaya ditangani melalui perancangan sistematik PAIP, pendekatan berfokus ini juga akan membolehkan kadar NRW diturunkan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Komitmen ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dan PAIP dalam memastikan rakyat menikmati bekalan air yang berkualiti dan berterusan,” katanya lagi. – UMNO Online
