Gotong-Royong, Ziarah Kasih Eratkan Komuniti Mengkasar

PEKAN,8 Dis  — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Mohamad Nizar Najib, menyifatkan program gotong-royong sebagai aktiviti yang menarik dan menjadi ruang terbaik untuk mengukuhkan kerjasama serta saling melengkapi antara satu sama lain dalam komuniti.

Menurutnya, program gotong-royong dilaksanakan secara menyeluruh di beberapa kampung dalam kawasan Peramu Jaya, termasuk Kampung Mengkasar, di sini yang berlangsung dalam suasana muhibah dan penuh kebersamaan.

“Program gotong-royong yang diadakan di Kampung Mengkasar berlangsung dengan penuh semangat apabila penduduk setempat turun padang menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan.

“Antara usaha yang dilaksanakan termasuk membersihkan kawasan perkuburan, memotong dahan pokok yang memanjang ke laluan kenderaan serta membersihkan semak-samun di sepanjang bahu jalan. Aktiviti ini bukan sahaja memastikan persekitaran kampung sentiasa terjaga, malah memberi keselesaan dan keselamatan kepada semua penduduk,” katanya.

Mohamad Nizar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, menambah bahawa program berkenaan turut menjadi wadah mempererat hubungan sesama komuniti melalui aktiviti bermanfaat.

“Keprihatinan penduduk menunjukkan betapa kuatnya rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan kampung dan warisan setempat.

“Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan secara berkala agar Kampung Mengkasar kekal bersih, selamat dan harmoni. Semoga kerjasama erat antara penduduk serta sokongan padu daripada semua pihak akan terus memacu kampung ini menjadi contoh kepada komuniti lain dalam menjaga kelestarian persekitaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar turut berkongsi mengenai pelaksanaan Program Ziarah Kasih yang dijalankan secara berterusan di kampung berkenaan.

Program tersebut diteruskan dengan menziarahi Haji Asmat bin Abdullah, mantan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mengkasar yang pernah memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti.

“Kunjungan ini memberi peluang untuk kami menyantuni beliau serta menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda ingatan dan penghargaan atas khidmat bakti beliau sebelum ini.

“Walaupun sedang berdepan masalah kesihatan, Haji Asmat tetap kelihatan tenang dan kuat, mencerminkan jiwa seorang pemimpin yang tabah. Kami mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan, dipermudahkan rawatan dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO