Bajet 2026 Negeri Sembilan Seimbang Antara Rangsangan Pertumbuhan Dan Kesejahteraan Rakyat
KUALA LUMPUR, 7 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menyambut baik pendekatan Bajet 2026 Negeri Sembilan yang memberi fokus seimbang antara rangsangan pertumbuhan dan perlindungan kesejahteraan rakyat serta mengambil kira keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu juga berpandangan belanjawan kali ini menggariskan keutamaan yang jelas untuk pembangunan ekonomi, infrastruktur, kesejahteraan rakyat, dan transformasi tadbir urus negeri.

“Saya menekankan beberapa aspek penting iaitu perlu fokus kepada keberhasilan sebenar pelaksanaan projek, kerana terdapat inisiatif sebelum ini yang tidak mencapai kadar realisasi yang diharapkan. Penjagaan aset dan kemudahan sedia ada (infrastruktur) perlu diberikan keutamaan, bukan hanya pembinaan baharu.
“Program bantuan sosial dan pembangunan insan harus disasarkan dengan lebih tepat melalui pangkalan data bersepadu untuk mengelakkan pertindihan atau ketirisan.
“Kecekapan pelaksanaan dan penyelarasan sistematik antara agensi adalah faktor penentu manfaat kepada rakyat, melebihi jumlah peruntukan semata-mata,” katanya menerusi satu entri di Facebook.
Justeru, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat, khususnya Pejabat Kewangan Negeri Sembilan, kerana menyiapkan Belanjawan 2026 berjumlah RM618.5 juta.

“Seruan saya agar perbahasan belanjawan dibuat atas asas fakta, analisis yang berimbang, dan cadangan membina, kerana ia adalah amanah bersama yang menuntut penelitian profesional.
“Matlamat Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan ekonomi negeri berkembang, ‘poket rakyat sentiasa berisi’ dan kebajikan rakyat terbela,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu yang bangun menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Jumaat di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seremban.
Dilaporkan Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM640 juta yang meliputi perbelanjaan pembangunan sebanyak RM150 juta.
Aminuddin ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Belanjawan MADANI Rakyat Harmoni’ itu berkata belanjawan 2026 merupakan belanjawan defisit dengan RM30 juta, berbanding anggaran hasil negeri berjumlah RM610 juta.
Jelas Aminuddin, anggaran perbelanjaan pembangunan RM150 juta akan diagihkan bagi sektor sosial sebanyak RM73.86 juta, pentadbiran (RM26.98 juta), infrastruktur (RM22.39 juta), pertanian (RM12.19 juta), kerohanian (RM9.88) juta dan pelancongan (RM4.70 juta). – UMNO ONLINE
