Kerajaan Negeri Perkenalkan Tiga Inisiatif Baharu Perumahan Kasih Johor Tahun 2026

KULAI, 6 Dis – Kerajaan Negeri akan memperkenalkan tiga inisiatif baharu Perumahan Kasih Johor untuk membantu golongan pembeli rumah pertama dan keluarga muda pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata semuanya dirangka bagi meringankan kos sara hidup dan memberi ruang rakyat memulakan kehidupan di rumah sendiri dengan lebih yakin.

“Salah satu inisiatif penting ialah Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM200 sebulan selama 10 bulan, sebagai kelegaan kepada keluarga yang masih menyewa sementara merancang untuk memiliki rumah sendiri di masa terdekat.

“Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000 pula memberi rangsangan besar kepada rakyat yang berhasrat memiliki rumah pertama kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), lot Bumiputera atau unit ‘sub-sale’ bernilai di bawah RM500,000. Inisiatif ini membuka peluang lebih meluas kepada keluarga muda untuk memiliki aset pertama.

“Kerajaan Negeri turut menaikkan Bantuan Masuk Rumah daripada RM1,000 kepada RM2,000 sebagai sokongan awal kepada pembeli yang menerima kunci rumah antara 2025 hingga 2026. Ini membantu menampung kos asas seperti utiliti, perpindahan dan pembelian keperluan awal,” kata Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seterusnya, Mohd Jafni bersyukur kerana hari ini kerajaan negeri melangkah ke satu fasa penting dalam agenda reformasi perumahan melalui pelancaran Kick-Off Inisiatif Belanjawan Johor 2026 (Perumahan Kasih Johor) di IOI Mall Kulai, di sini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor Datin Paduka Dr Suhailizan binti Suliman dan Pegawai Daerah Kulai Fizwan Mohd Rashidi.

Menurutnya, program tersebut menjadi titik tolak memperkukuh misi memastikan rakyat Johor mampu memiliki kediaman yang berkualiti, selamat dan selesa.

“Pada pelancaran hari ini, kerajaan menawarkan 602 unit RMMJ merangkumi tujuh projek selain melancarkan iklan bagi 467 unit tambahan, termasuk projek Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ).

“Penawaran meluas ini memastikan ramai lagi rakyat mendapat akses kepada rumah mampu milik yang benar-benar dalam kemampuan mereka.

“Penyerahan Sijil Layak Menduduki Rumah (SLMR) bagi 140 unit turut berlangsung pada hari ini momen paling mengembirakan kerana ia menandakan bermulanya sebuah kehidupan baharu untuk banyak keluarga yang telah lama menanti rumah idaman. Turut juga disampaikan adalah sijil rumah prihatin,” katanya lagi.

Tambah Mohd Jafni lagi, keseluruhan usaha tersebut termasuk pengukuhan dasar, penawaran besar-besaran dan sokongan kewangan langsung mampu membina satu ekosistem perumahan negeri yang lebih moden dan berdaya saing.

“Insya-Allah, Johor akan terus menjadi negeri contoh dalam menyediakan perumahan berkualiti dan bermaruah untuk rakyatnya.

“Saya menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Onn Hafiz Ghazi Menteri Besar Johor, atas komitmen yang begitu jelas dalam memacu usaha pembaharuan dasar perumahan rakyat.

“Kepimpinan beliau telah membuka ruang kepada pendekatan yang lebih menyeluruh, telus dan responsif terhadap keperluan keluarga Johor hari ini,” katanya.

Ulasnya juga, Kerajaan Negeri Johor telah menetapkan sasaran besar membina 100,000 unit RMMJ menjelang tahun 2030.

“Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi iltizam untuk memastikan setiap rakyat mempunyai peluang adil membina kehidupan yang lebih stabil melalui pemilikan rumah.

“Sehingga suku kedua 2025, lebih 20,000 unit RMMJ telah berjaya disiapkan, manakala hampir 10,000 unit lagi sedang dalam pembinaan. Ia membuktikan bahawa perancangan kerajaan negeri sentiasa diterjemahkan kepada pelaksanaan yang nyata, bukan sekadar komitmen di atas kertas,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO