“Saya Kehilangan Seorang Sahabat Sejati” – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Seluruh saf kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat khususnya di negeri Sabah berdoa semoga roh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh.
Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan perasaan luluh hati apabila mendapat perkhabaran Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah meninggal dunia awal pagi tadi.

“Ya Allah… Luluh hati saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini.
“Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hati, seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah,” kata Ahmad Zahid dalam satu catatan di Facebook.
Terdahulu, dalam satu status Facebook Naim Moktar berkata ayahandanya itu meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi.
Seterusnya, Ahmad Zahid turut berkata sukar untuk beliau mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini.
“Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini.
“Ya Allah, ampunkanlah dosanya, terimalah segala amal baktinya, angkatlah darjat kebaikannya, dan kurniakanlah untuknya nikmat syurga-Mu yang abadi.”
Ahmad Zahid juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” katanya. – UMNO ONLINE
