Perjalanan Akhir Bung Moktar: Pemergian Penuh Berkat, Dicemburui Ramai

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan pemergian Allahyarham Bung Moktar Radin sebagai perjalanan akhir yang penuh berkat dan dicemburui.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa dan menyumbang bakti kepada parti serta rakyat Sabah khususnya di kawasan Parlimen Kinabatangan.

“Pemergian yang mengejutkan kita semua, lebih-lebih lagi kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang baharu sahaja memilih Allahyarham sebagai wakil rakyat mereka. Beliau juga ‘pergi’ pada hari Jumaat yang penuh berkat dan tentunya dicemburui oleh kita semua.

“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman menzahirkan ucapan takziah dan mengharapkan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan.

“Dikejutkan dengan khabar duka kehilangan seorang sahabat seperjuangan dalam UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian yang berat ini.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa Allahyarham, menerima segala amalannya dalam menempatkan Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya.

Pada Jumaat media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini.

Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.

Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital, di sini, sejak pagi Khamis. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO