Kluster Atlet Makmur 2025: Pengiktirafan Buat Wira Sukan Pahang
KUANTAN, 5 Dis – Seramai 844 atlet Pahang menerima sumbangan berjumlah RM300 setiap seorang melalui program Inisiatif Makmur Pahang Kluster Atlet Makmur 2025 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan, pengorbanan serta kejayaan mereka mengharumkan nama negeri dan negara dalam pelbagai disiplin sukan.
Majlis penyampaian inisiatif berkenaan berlangsung di Swiss-Belhotel Kuantan, disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Fadzli, pemberian insentif ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap jasa dan usaha berterusan para atlet yang telah membawa kejayaan dan kebanggaan kepada Pahang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi suntikan semangat kepada semua atlet Pahang untuk terus gigih berlatih serta mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.
Program Kluster Atlet Makmur 2025 merupakan antara inisiatif di bawah agenda Makmur Pahang yang menekankan kebajikan dan pembangunan sumber manusia termasuk golongan atlet, sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri membangunkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. – UMNO Online
