Khaled, Azalina Sifatkan Pemergian Bung Moktar Suatu Kehilangan Besar

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai mendukacitakan dan satu kehilangan besar buat parti, negeri Sabah dan negara.

Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri Pertahanan itu berkata ini kerana Allahyarham disifatkan sebagai pemimpin yang komited dalam perjuangan

“Allahyarham merupakan seorang pejuang yang cukup setia, lantang dan istiqamah dalam perjuangan. Pemergian Allahyarham tak akan dapat ditukar diganti.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Saya doakan keluarga beliau dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh saat yang amat mencabar ini.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said meluahkan rasa kehilangan besar apabila mengenang kembali Allahyarham sebagai pemimpin seorang yang berani bersuara dan setia dalam persahabatan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu lagi pemergian Allahyarham tentunya bukan hanya dirasai oleh kawan dan lawan dalam arena politik bahkan juga kehilangan yang amat besar buat negara terutamanya keluarga besar UMNO.

“Hari ini saya kehilangan seorang sahabat seperjuangan dalam UMNO Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi hari Jumaat yang cukup mulia ini.

“Beliau bukan sekadar rakan politik, tetapi seorang yang berani bersuara, setia dalam persahabatan, dan sentiasa membawa suara Sabah ke gelanggang nasional tanpa gentar.

“Banyak kenangan perjuangan bersama yang saya simpan sebagai kekuatan dan peringatan tentang makna setia kawan dalam perjuangan politik,” ujar beliau.

Terdahulu, Allahyarham yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah meninggal dunia di Hospital Gleneagles pada jam 1.46 pagi tadi.

Perkhabaran itu diumumkan oleh anak lelaki Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di laman media sosial Facebook rasminya.

“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H),” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO