‘Kehilanganmu Sangat Dirasai Kawan Mahupun Lawan’ – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan kehilangan Datuk Seri Bung Moktar Radin sangat dirasai apabila mengenangkan kembali momen bersama Allahyarham.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata Allahyarham banyak mengajarnya tentang nilai perjuangan, kesetiaan dan semangat tidak mudah menyerah.

“Pemergianmu sangat dirasai. Baik dari kawan mahupun lawan. Terlalu banyak kisah antara kita berdua yang mengajar saya erti sebenar perjuangan dan kesetiaan dalam persahabatan

“Seorang hamba Allah yang sentiasa positif disetiap waktu,dan murah dengan senyuman walaupun kita tahu dugaan yang besar sedang beliau hadapi

“Moga Allah tempatkan arwah datuk bung di kalangan kekasih Allah. Datuk Seri Bung Moktar Radin kamu akan sentiasa berada di dalam setiap doa kami,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut meluahkan dukacita selepas mengetahui perkhabaran pemergian Allahyarham.

Beliau berkata Allahyarham dikagumi sebagai pemimpin yang mempunyai keteguhan berprinsip, jujuran dan kesetiaan yang tidak pernah luntur.

“Allahyarham bukan sekadar seorang pemimpin, tetapi seorang sahabat yang sentiasa memberi nasihat, tempat berkongsi pandangan, dan pendukung setia dalam setiap suka dan duka perjuangan.

“Banyak kenangan kebersamaan yang tidak akan pernah saya lupakan, perbualan yang penuh hikmah, teguran yang membina, serta keikhlasan beliau dalam membimbing tanpa mengharap balasan.

“Saya amat mengagumi keteguhan prinsip, kejujuran serta kesetiaan Allahyarham yang tidak pernah luntur. Keakraban kami terjalin atas dasar kepercayaan, hormat dan kasih sayang sesama insan. Kehilangan ini amat mengesankan jiwa saya secara peribadi,” ujar beliau.

Reezal dalam pada itu turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh, serta dikurniakan keampunan dan rahmat daripada Allah SWT.

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, rahmatilah dirinya, maafkan segala kesalahannya, muliakan kematiannya, lapangkanlah kuburnya, dan tempatkanlah rohnya di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga ahli keluarga diberikan ketabahan dan kesabaran menghadapi kehilangan ini.

Bung Moktar, 66, Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas, Kota Kinabalu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO