Belanjawan Negeri Pahang: Tujuh Teras Utama, Selaras Aspirasi Pahang 1st
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2026 yang bertemakan ‘Pahang1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’ digerakkan oleh tujuh teras utama selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, belanjawan tersebut merupakan kerangka besar yang memandu hala tuju negeri dari pelbagai aspek.

“Hari ini, saya telah membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2026 bertemakan ‘Pahang1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’, sebagai manifestasi iltizam Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh kesejahteraan rakyat dan mengangkat daya saing ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi.
“Belanjawan ini digerakkan oleh tujuh teras utama yang menjadi paksi kepada agenda pembangunan Pahang secara menyeluruh, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st… sebuah kerangka besar yang memandu hala tuju negeri dari segi pengukuhan agama Islam, institusi diraja, kebudayaan, ekonomi, sosial, kebajikan, pembangunan modal insan, kelestarian, inovasi dan pemantapan tadbir urus,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO turut berharap agar Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2026 mampu menjadi pemangkin kepada pembaharuan yang lebih inklusif.

“Saya menaruh harapan besar agar Belanjawan 2026 menjadi pemangkin kepada pembaharuan yang lebih inklusif… dapat menyantuni setiap lapisan masyarakat, memperkasa setiap daerah dan membuka ruang serta peluang yang lebih luas kepada anak-anak Pahang untuk terus mara ke hadapan.
“Semoga segala perancangan ini bukan sekadar rangkuman dasar, tetapi menjadi denyut nadi kepada gerakan besar memacu Pahang sebagai sebuah negeri yang makmur, maju, aman dan berdaya saing,” katanya lagi. – UMNO Online
